Apabila orang Farisi yang menjemput Yesus melihat kejadian ini, dia berkata dalam hati, “Jika dia ini benar-benar seorang nabi, tentu dia tahu bahawa wanita yang menyentuhnya itu hidup dalam dosa!” Yesus berkata kepadanya, “Simon, ada yang hendak Aku katakan kepadamu.” Simon menjawab, “Katakanlah guru.” Yesus berkata, “Ada dua orang lelaki berhutang kepada seorang peminjam wang. Yang seorang berhutang lima ratus keping wang perak dan yang seorang lagi lima puluh keping wang perak. Kedua-duanya tidak dapat membayar hutang. Oleh itu orang yang meminjamkan wang menghapuskan hutang mereka. Yang manakah akan lebih mengasihi dia?” Simon menjawab, “Pada pendapat saya orang yang berhutang lebih banyak!” “Pendapatmu benar,” jawab Yesus. Lalu Yesus berpaling kepada wanita itu dan berkata kepada Simon, “Kamu nampak perempuan ini? Aku datang ke rumahmu dan kamu tidak menyediakan air untuk membersihkan kaki-Ku. Tetapi wanita ini membasuh kaki-Ku dengan air matanya, dan mengeringkannya dengan rambutnya. Kamu tidak menyambut Aku dengan ciuman, tetapi wanita ini tidak henti-henti mencium kaki-Ku sejak Aku tiba. Kamu tidak menyediakan minyak untuk kepala-Ku, tetapi wanita ini telah menuang minyak wangi pada kaki-Ku. Sesungguhnya, kasihnya yang besar itu menunjukkan bahawa dosanya yang banyak sudah diampunkan! Jika seseorang menunjukkan kasih yang sedikit, hal itu bererti dia menerima pengampunan yang sedikit juga.” Lalu Yesus berkata kepada wanita itu, “Dosamu sudah diampunkan.” Mereka yang makan bersama-sama Yesus mula bertanya sesama sendiri, “Siapakah dia ini sehingga dapat mengampunkan dosa?” Tetapi Yesus berkata kepada wanita itu, “Oleh sebab kamu percaya kepada-Ku, kamu diselamatkan. Pergilah dengan sejahtera!”
Baca LUKAS 7
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: LUKAS 7:39-50
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video