Pengikut Yohanes memberitahu Yohanes segala perkara ini. Yohanes memanggil dua orang pengikutnya lalu menyuruh mereka bertanya kepada Tuhan Yesus, “Adakah tuan orang yang dikatakan akan datang menurut janji Allah atau adakah kami harus menantikan seorang lain?”
Apabila mereka bertemu dengan Yesus, mereka berkata, “Yohanes Pembaptis menyuruh kami bertanya kepada tuan, ‘Adakah tuan orang yang dikatakan akan datang menurut janji Allah, atau adakah kami harus menantikan seorang lain?’ ”
Kebetulan pada masa itu, Yesus menyembuhkan banyak orang sakit. Dia mengusir roh-roh jahat dan mencelikkan mata orang buta. Oleh itu Yesus menjawab utusan-utusan Yohanes, “Pulanglah, beritahu Yohanes apa yang telah kamu lihat dan dengar: orang buta melihat, orang lumpuh berjalan, orang berpenyakit kulit yang mengerikan menjadi sembuh, orang tuli mendengar, orang mati dibangkitkan semula, dan Berita Baik daripada Allah dikhabarkan kepada orang miskin. Berbahagialah orang yang tidak mempunyai keraguan terhadap Aku!”
Setelah utusan-utusan Yohanes pergi, Yesus mula bercakap tentang Yohanes kepada orang ramai. Dia berkata, “Apabila kamu pergi kepada Yohanes di padang gurun, apakah yang mahu kamu lihat? Sehelai rumput yang ditiup anginkah? Kamu keluar mahu melihat apa? Seorang yang berpakaian indahkah? Orang yang berpakaian demikian dan yang hidup mewah tinggal di istana! Katakanlah, kamu keluar mahu melihat apa? Seorang nabikah? Betul, bahkan lebih daripada seorang nabi. Yohanes itulah yang dikatakan dalam ayat Alkitab, ‘Allah berfirman: Inilah utusan-Ku. Aku akan mengutus dia terlebih dahulu daripada-Mu supaya menyediakan jalan bagi-Mu.’ ” Yesus berkata pula, “Hendaklah kamu tahu bahawa di dunia ini tidak ada orang yang lebih besar daripada Yohanes Pembaptis. Tetapi orang terkecil antara mereka yang menikmati Pemerintahan Allah, lebih besar daripada Yohanes.”
Orang ramai termasuk para pemungut cukai mendengar Yesus mengatakan hal itu. Merekalah yang mentaati perintah Allah dan mahu dibaptis oleh Yohanes. Tetapi orang Farisi dan guru Taurat tidak mahu menerima apa yang dikehendaki oleh Allah bagi diri mereka, dan tidak mahu dibaptis oleh Yohanes.
Yesus berkata, “Dengan apakah dapat Aku bandingkan orang zaman ini? Seperti apakah mereka? Mereka seperti anak-anak yang duduk di pasar. Kumpulan yang satu berseru kepada yang lain, ‘Kami memainkan lagu perkahwinan untuk kamu, tetapi kamu tidak mahu menari! Kami meratap, tetapi kamu tidak mahu menangis!’ Yohanes Pembaptis datang, dia berpuasa dan tidak minum wain; lalu kamu berkata, ‘Dia dirasuk syaitan!’ Anak Manusia datang, Dia makan dan minum, lalu kamu berkata, ‘Lihatlah orang ini! Dia rakus, pemabuk, sahabat pemungut cukai, dan kawan orang yang dihina masyarakat!’ Walaupun demikian, kebijaksanaan Allah dibuktikan benar oleh perbuatan semua orang yang menerima kebijaksanaan itu.”