LUKAS 4:1-32

LUKAS 4:1-32 BM

Yesus yang dikuasai oleh Roh Allah, kembali dari kawasan Sungai Yordan. Yesus dipimpin oleh Roh Allah ke padang gurun. Di situ Dia dicubai oleh Iblis selama empat puluh hari. Sepanjang masa itu, Yesus tidak makan apa-apa, sehingga Dia lapar. Iblis berkata kepada-Nya, “Jika Engkau Anak Allah, perintahlah batu ini menjadi roti.” Yesus menjawab, “Di dalam Alkitab tertulis, ‘Manusia tidak dapat hidup dengan roti sahaja.’ ” Lalu Iblis membawa Yesus ke tempat yang tinggi, dan dalam sekelip mata Iblis menunjukkan segala kerajaan di dunia kepada-Nya. “Aku akan memberikan segala kekuasaan dan kekayaan ini kepada-Mu,” kata Iblis kepada Yesus. “Semuanya ini telah diberikan kepadaku, dan aku berhak memberikannya kepada sesiapa sahaja yang aku suka. Semua ini akan menjadi milik-Mu, jika Engkau sujud menyembah aku.” Yesus menjawab, “Di dalam Alkitab tertulis, ‘Sembahlah Tuhan Allahmu dan abdikan diri kepada Dia sahaja!’ ” Lalu Iblis membawa Yesus ke Yerusalem dan menaruh Dia di puncak Rumah Tuhan dan berkata kepada-Nya, “Jika Engkau Anak Allah, terjunlah ke bawah, kerana di dalam Alkitab tertulis, ‘Allah akan memerintah para malaikat-Nya menjaga Engkau baik-baik.’ Juga tertulis, ‘Malaikat akan menyambut Engkau dengan tangan, supaya kaki-Mu tidak terhantuk pada batu.’ ” Yesus menjawab, “Di dalam Alkitab tertulis, ‘Janganlah cubai Tuhan Allahmu.’ ” Apabila Iblis selesai mencubai Yesus dengan segala upaya, dia meninggalkan Yesus untuk sementara waktu. Yesus kembali ke Galilea dan kuasa Roh Allah menyertai Dia. Berita tentang Yesus tersebar ke seluruh daerah itu. Yesus mengajar di rumah ibadat dan Dia dipuji oleh semua orang. Kemudian Yesus pergi ke Nasaret, tempat Dia dibesarkan. Pada hari Sabat, seperti biasa Yesus pergi ke rumah ibadat. Dia berdiri untuk membaca Alkitab, lalu Dia diberikan gulungan naskhah yang berisi perkhabaran daripada Nabi Yesaya. Yesus membuka gulungan naskhah itu, lalu mendapatkan bahagian yang tertulis, “Roh Tuhan ada pada-Ku. Dia telah melantik Aku supaya mengkhabarkan Berita Baik kepada orang miskin. Dia mengutus Aku supaya mengumumkan pembebasan kepada orang tawanan, kesembuhan bagi orang buta; dan kemerdekaan bagi orang yang tertindas, serta mengisytiharkan masanya Tuhan menyelamatkan umat-Nya.” Yesus menggulung gulungan naskhah itu semula dan mengembalikannya kepada petugas, lalu duduk. Mata semua orang di dalam rumah ibadat itu tertumpu kepada Yesus. Yesus mula berkata kepada mereka, “Pada hari ini ayat-ayat Alkitab ini sudah berlaku pada masa kamu mendengarnya.” Kata-kata yang diucapkan oleh Yesus baik sekali sehingga para pendengar-Nya kagum. Mereka berkata, “Bukankah dia anak Yusuf?” Tetapi Yesus berkata, “Tentu kamu akan menyebut peribahasa ini kepada-Ku, ‘Hai doktor, sembuhkanlah dirimu sendiri.’ Kamu juga akan berkata, ‘Kami mendengar tentang semua perkara yang sudah berlaku di Kapernaum, lakukanlah semuanya di kampung halamanmu juga.’ ” Yesus berkata lagi, “Ketahuilah, seorang nabi tidak pernah dihormati di kampung halamannya sendiri. Dengarkan kata-kata-Ku: Memang ada banyak balu di Israel pada zaman Nabi Elia. Pada masa itu musim kemarau berlanjutan, kerana hujan tidak turun selama tiga tahun setengah sehingga bencana kebuluran yang dahsyat berlaku di negeri itu. Tetapi Allah tidak menyuruh Elia pergi kepada salah seorang balu itu. Dia disuruh pergi kepada seorang balu yang tinggal di Sarafat di daerah Sidon. Demikian juga ada banyak orang berpenyakit kulit yang mengerikan di Israel pada zaman Nabi Elisa. Tetapi tidak seorang pun daripada mereka disembuhkan, kecuali Naaman orang Siria itu.” Semua orang di rumah ibadat itu sangat marah apabila mereka mendengar hal itu. Mereka bangkit lalu menyeret Yesus ke luar bandar dan membawa-Nya ke puncak bukit tempat kota mereka dibina. Mereka bermaksud menolak Yesus ke dalam jurang. Tetapi Yesus terus berjalan antara orang ramai lalu pergi dari situ. Lalu Yesus pergi ke Kapernaum, sebuah kota di Galilea. Di situ Dia mengajar orang pada hari Sabat. Orang kagum melihat cara Yesus mengajar, kerana Dia berkata-kata dengan wibawa.