Yesus yang dikuasai oleh Roh Allah, kembali dari kawasan Sungai Yordan. Yesus dipimpin oleh Roh Allah ke padang gurun. Di situ Dia dicubai oleh Iblis selama empat puluh hari. Sepanjang masa itu, Yesus tidak makan apa-apa, sehingga Dia lapar.
Iblis berkata kepada-Nya, “Jika Engkau Anak Allah, perintahlah batu ini menjadi roti.”
Yesus menjawab, “Di dalam Alkitab tertulis, ‘Manusia tidak dapat hidup dengan roti sahaja.’ ”
Lalu Iblis membawa Yesus ke tempat yang tinggi, dan dalam sekelip mata Iblis menunjukkan segala kerajaan di dunia kepada-Nya. “Aku akan memberikan segala kekuasaan dan kekayaan ini kepada-Mu,” kata Iblis kepada Yesus. “Semuanya ini telah diberikan kepadaku, dan aku berhak memberikannya kepada sesiapa sahaja yang aku suka. Semua ini akan menjadi milik-Mu, jika Engkau sujud menyembah aku.”
Yesus menjawab, “Di dalam Alkitab tertulis, ‘Sembahlah Tuhan Allahmu dan abdikan diri kepada Dia sahaja!’ ”
Lalu Iblis membawa Yesus ke Yerusalem dan menaruh Dia di puncak Rumah Tuhan dan berkata kepada-Nya, “Jika Engkau Anak Allah, terjunlah ke bawah, kerana di dalam Alkitab tertulis, ‘Allah akan memerintah para malaikat-Nya menjaga Engkau baik-baik.’ Juga tertulis, ‘Malaikat akan menyambut Engkau dengan tangan, supaya kaki-Mu tidak terhantuk pada batu.’ ”
Yesus menjawab, “Di dalam Alkitab tertulis, ‘Janganlah cubai Tuhan Allahmu.’ ”
Apabila Iblis selesai mencubai Yesus dengan segala upaya, dia meninggalkan Yesus untuk sementara waktu.
Yesus kembali ke Galilea dan kuasa Roh Allah menyertai Dia. Berita tentang Yesus tersebar ke seluruh daerah itu. Yesus mengajar di rumah ibadat dan Dia dipuji oleh semua orang.
Kemudian Yesus pergi ke Nasaret, tempat Dia dibesarkan. Pada hari Sabat, seperti biasa Yesus pergi ke rumah ibadat. Dia berdiri untuk membaca Alkitab, lalu Dia diberikan gulungan naskhah yang berisi perkhabaran daripada Nabi Yesaya. Yesus membuka gulungan naskhah itu, lalu mendapatkan bahagian yang tertulis,
“Roh Tuhan ada pada-Ku.
Dia telah melantik Aku supaya mengkhabarkan
Berita Baik kepada orang miskin.
Dia mengutus Aku supaya mengumumkan
pembebasan kepada orang tawanan,
kesembuhan bagi orang buta;
dan kemerdekaan bagi orang yang tertindas,
serta mengisytiharkan masanya
Tuhan menyelamatkan umat-Nya.”
Yesus menggulung gulungan naskhah itu semula dan mengembalikannya kepada petugas, lalu duduk. Mata semua orang di dalam rumah ibadat itu tertumpu kepada Yesus.