Pada hari itu juga, dua orang daripada pengikut Yesus sedang pergi ke pekan bernama Emaus, kira-kira sebelas kilometer jauhnya dari Yerusalem. Mereka berbincang tentang peristiwa yang sudah berlaku. Sedang mereka bercakap dan bertukar pendapat, Yesus datang menghampiri mereka dan berjalan bersama-sama mereka. Mereka nampak Yesus, tetapi entah bagaimana mereka tidak mengenal Dia. Yesus berkata kepada mereka, “Apakah yang kamu percakapkan dalam perjalanan kamu ini?” Mereka berhenti dengan muka yang sedih. Lalu seorang daripada mereka yang bernama Kleopas bertanya kepada Yesus, “Adakah tuan satu-satunya orang di Yerusalem yang tidak mengetahui apa yang telah berlaku akhir-akhir ini?” “Apakah yang telah berlaku?” tanya Yesus. “Perkara-perkara yang berlaku kepada Yesus, orang Nasaret itu,” jawab mereka. “Dia seorang nabi. Di sisi Allah dan pada pandangan semua orang, Dia berkuasa kerana kata-kata-Nya mahupun perbuatan-Nya. Para ketua imam dan penguasa bangsa kita menyerahkan Dia supaya dihukum mati, lalu mereka menyalibkan Dia! Kami berharap bahawa Dialah yang akan membebaskan Israel! Lagi pula hari ini hari ketiga sejak kejadian itu. Beberapa orang wanita daripada golongan kami memeranjatkan kami. Pada waktu fajar mereka pergi ke kubur, tetapi tidak mendapati jenazah Yesus. Lalu mereka kembali dan berkata bahawa mereka nampak malaikat-malaikat yang memberitahukan bahawa Yesus hidup. Beberapa orang di kalangan kami pergi ke kubur dan mendapati keadaannya seperti apa yang dikatakan oleh wanita-wanita itu, tetapi mereka tidak nampak Yesus.” Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Alangkah bodohnya kamu! Alangkah lambatnya kamu mempercayai semua yang dikatakan oleh nabi-nabi! Bukankah Penyelamat yang diutus oleh Allah harus mengalami penderitaan itu bagi mencapai kemuliaan-Nya?” Kemudian Yesus menerangkan apa yang tertulis tentang diri-Nya di dalam seluruh Alkitab kepada mereka, mulai dari Kitab-Kitab Musa dan tulisan para nabi. Mereka hampir tiba di pekan yang ditujui. Yesus kelihatannya seolah-olah hendak meneruskan perjalanan. Tetapi mereka menjemput Dia bermalam. Mereka berkata, “Tinggallah dengan kami. Hari hampir malam, lagi pun sudah mulai gelap.” Oleh itu Yesus masuk ke rumah untuk bermalam dengan mereka. Dia makan bersama-sama mereka. Kemudian Dia mengambil roti, mengucap syukur kepada Allah, lalu membahagi roti itu, dan memberikannya kepada mereka. Maka sedarlah mereka bahawa orang itu Yesus. Tetapi Yesus lenyap daripada pandangan mereka. Mereka bercakap sesama sendiri, “Tidakkah hati kita berasa seperti meluap, ketika Dia berkata-kata kepada kita di tengah jalan dan menerangkan isi Alkitab kepada kita?” Mereka terus bangkit lalu balik ke Yerusalem. Di situ mereka mendapati sebelas orang rasul sedang berkumpul dengan pengikut yang lain. Mereka berkata, “Memang benar Tuhan sudah bangkit! Dia sudah menampakkan diri kepada Simon!”
Baca LUKAS 24
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: LUKAS 24:13-34
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video