Semua anggota majlis bangkit, lalu membawa Yesus ke hadapan Pilatus. Di situ mereka mula menuduh Dia dan berkata, “Kami dapati orang ini menyesatkan rakyat. Dia menghasut orang ramai supaya tidak membayar cukai kepada Kaisar dan dia mengaku diri sebagai Kristus, seorang raja.”
Pilatus bertanya kepada Yesus, “Betulkah kamu raja orang Yahudi?”
Yesus menjawab, “Begitulah yang tuan katakan.”
Kemudian Pilatus berkata kepada para ketua imam dan orang ramai, “Aku tidak mendapati kesalahan apa-apa pun sehingga orang ini patut dihukum.”
Tetapi mereka berulang kali berkata, “Dengan ajarannya, orang ini menghasut orang di seluruh Yudea supaya memberontak; dia memulakannya di Galilea dan sekarang sudah sampai di sini pula.”
Ketika mendengar hal itu, Pilatus bertanya, “Adakah orang ini orang Galilea?” Apabila Pilatus mengetahui bahawa Yesus berasal dari daerah yang diperintah oleh Herodes, dia menyuruh orang menghantar Yesus kepada Herodes. Ketika itu, Herodes juga di Yerusalem. Herodes sangat gembira ketika nampak Yesus, kerana sudah lama dia mendengar perihal Yesus dan ingin melihat dia. Herodes berharap dapat menyaksikan Yesus melakukan mukjizat. Oleh itu Herodes mengajukan banyak pertanyaan kepada Yesus, tetapi Yesus tidak menjawab sepatah pun. Semua ketua imam dan guru Taurat yang di situ maju ke hadapan dan mendakwa Yesus dengan berbagai-bagai tuduhan yang berat. Herodes dan askar-askarnya mempermainkan serta menghina Yesus. Mereka mengenakan jubah yang indah pada Yesus, lalu mengembalikan Yesus kepada Pilatus. Mulai hari itu Herodes dan Pilatus bersahabat; dahulunya mereka bermusuhan.
Pilatus mengumpulkan para ketua imam, pemimpin, dan orang ramai. Dia berkata kepada mereka, “Kamu membawa orang ini kepadaku dan berkata bahawa dia menyesatkan rakyat. Aku sudah menyoal dia di sini di hadapan kamu, dan tidak mendapati kesalahan apa-apa pun sebagaimana yang kamu tuduhkan kepadanya. Herodes pun berpendapat demikian, kerana dia menghantar Yesus kembali kepada kami. Orang ini tidak melakukan sesuatu pun sehingga dia patut dijatuhi hukuman mati. Oleh itu aku menyuruh orang mencambuk dia, lalu membebaskannya.” [ Pada tiap-tiap perayaan Paska, Pilatus harus membebaskan seorang tahanan untuk rakyat.] Semua orang di situ berseru, “Bunuhlah dia! Bebaskan Barabas untuk kami!” ( Barabas dipenjarakan kerana terbabit dalam pemberontakan yang berlaku di kota dan kerana pembunuhan.)
Pilatus hendak membebaskan Yesus. Oleh itu Pilatus berseru lagi kepada orang ramai. Tetapi mereka berseru, “Salibkan dia! Salibkan dia!”
Lalu untuk kali ketiga Pilatus berkata kepada mereka, “Tetapi apakah kesalahannya? Aku tidak mendapati kesalahan apa-apa pun pada orang ini sehingga dia patut dijatuhi hukuman mati! Aku akan menyuruh orang mencambuk dia, kemudian membebaskannya.”
Tetapi mereka terus-menerus berseru dengan sekuat tenaga bahawa Yesus harus disalibkan, dan akhirnya mereka berjaya.