LUKAS 22:7-46

LUKAS 22:7-46 BM

Semasa Perayaan Roti Tidak Beragi, tibalah harinya domba disembelih untuk jamuan Paska. Yesus menyuruh Petrus dan Yohanes, “Pergilah sediakan jamuan Paska untuk kita.” Mereka bertanya, “Di manakah Guru mahu kami menyiapkannya?” Yesus berkata, “Apabila kamu masuk ke bandar, kamu akan berjumpa dengan seorang lelaki yang menjunjung buyung air. Ikutilah dia ke rumah yang dimasukinya, lalu berkatalah kepada pemilik rumah itu, ‘Guru bertanya, di manakah bilik tempat Dia dan pengikut-pengikut-Nya akan makan jamuan Paska?’ Tuan rumah itu akan menunjukkan sebuah bilik besar di tingkat atas yang lengkap dengan segala perabotnya. Siapkanlah segala-galanya di situ.” Mereka pergi dan mendapati semuanya seperti yang dikatakan oleh Yesus, lalu mereka menyediakan jamuan Paska. Apabila tiba waktunya untuk makan jamuan Paska, Yesus makan bersama dengan rasul-rasul itu. Dia berkata kepada mereka, “Aku ingin sekali makan jamuan Paska ini bersama-sama kamu sebelum kematian-Ku! Percayalah, Aku tidak akan memakannya lagi sehingga makna perjamuan ini dinyatakan di Dunia Baru Allah.” Setelah itu Yesus mengambil sebuah cawan berisi wain. Dia mengucap syukur kepada Allah, lalu berkata, “Ambillah cawan ini, dan bahagikanlah antara kamu sendiri. Ketahuilah, mulai sekarang Aku tidak akan minum wain ini lagi sehingga Allah memerintah dengan sepenuhnya.” Kemudian Yesus mengambil roti. Setelah Dia mengucap syukur kepada Allah, Dia membahagi roti itu lalu memberikannya kepada mereka sambil berkata, “Inilah tubuh-Ku, yang diberikan untuk kamu. Berbuatlah demikian untuk mengenang Aku.” Begitu juga setelah makan, Dia memberikan cawan itu kepada mereka sambil berkata, “Cawan wain ini perjanjian Allah yang baru, yang disahkan dengan darah-Ku, darah yang dicurahkan untuk kamu. Tetapi lihatlah! Orang yang mengkhianati Aku ada di sini bersama-sama Aku! Anak Manusia akan mati sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah; tetapi malanglah orang yang mengkhianati Dia!” Lalu mereka mula bertanya sesama sendiri, siapa antara mereka yang akan melakukan perkara itu. Pengikut-pengikut Yesus bertengkar tentang siapa antara mereka yang harus dianggap terbesar. Yesus berkata kepada mereka, “Raja bangsa yang tidak mengenal Allah menindas rakyat; para penguasanya disebut ‘Pelindung Rakyat’. Tetapi tidak demikian halnya dengan kamu. Sebaliknya, orang yang terbesar antara kamu mesti menjadi seperti yang terkecil dan pemimpin mesti menjadi seperti hamba. Siapakah yang lebih mulia, orang yang duduk makan atau orang yang melayani dia? Tentu orang yang duduk makan. Tetapi Aku ada antara kamu sebagai orang yang melayan. Kamu telah bersama-sama Aku dalam segala kesusahan-Ku. Sebagaimana Bapa-Ku telah memberikan hak kepada-Ku untuk memerintah, Aku juga akan memberikan hak itu kepada kamu. Kamu akan makan minum dengan Aku dan memerintah bersama-sama Aku pada waktu Aku menjadi raja. Kamu akan duduk di atas takhta untuk memerintah dua belas suku Israel.” “Simon, Simon, dengarlah! Iblis telah mendapat kebenaran untuk menguji kamu semua, seperti peladang memisahkan gandum daripada sekam. Tetapi Aku telah berdoa untukmu supaya imanmu tidak goyah. Apabila engkau balik kepada-Ku, engkau mesti menguatkan saudara-saudaramu.” Petrus menjawab, “Ya Tuhan, aku bersedia dipenjarakan dan mati bersama-sama Tuhan!” Yesus berkata, “Ketahuilah, Petrus, sebelum ayam berkokok hari ini, tiga kali engkau akan berkata engkau tidak mengenal Aku.” Kemudian Yesus bertanya kepada pengikut-pengikut-Nya, “Apabila Aku mengutus kamu dahulu dengan tidak membawa dompet, beg, atau kasut, adakah kamu kekurangan apa-apa?” “Tidak!” jawab mereka. “Tetapi sekarang,” kata Yesus, “orang yang mempunyai dompet atau beg, mesti membawanya; dan orang yang tidak mempunyai pedang, mesti menjual jubah untuk membeli pedang. Ketahuilah, ayat Alkitab ini mesti berlaku kepada diri-Ku: ‘Dia dianggap sebagai penjahat’. Apa yang tertulis tentang diri-Ku sedang berlaku sekarang ini.” Semua pengikut-Nya berkata, “Tuhan, lihatlah, di sini ada dua bilah pedang.” Yesus menjawab, “Cukuplah!” Yesus meninggalkan kota itu. Seperti biasa Dia pergi ke Bukit Zaitun dan pengikut-pengikut-Nya menyertai Dia. Apabila Yesus tiba di situ, Dia berkata kepada mereka, “Berdoalah agar kamu tidak berdosa ketika menghadapi cubaan.” Kemudian Dia pergi lebih jauh dari tempat mereka, kira-kira sejauh lemparan batu. Dia berlutut dan berdoa, “Ya Bapa, jika boleh jauhkanlah cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi janganlah turut kehendak-Ku, melainkan kehendak-Mu berlakulah.” Malaikat dari syurga datang kepada-Nya dan menguatkan Dia. Kerana berat penderitaan-Nya, Yesus semakin tekun berdoa, sehingga peluh-Nya seperti darah menitik ke tanah. Selepas berdoa, Yesus balik kepada pengikut-pengikut-Nya. Dia mendapati mereka tidur kerana penat dan terlalu sedih. Yesus berkata kepada mereka, “Mengapa kamu tidur? Bangunlah! Berdoalah supaya kamu tidak berdosa ketika menghadapi cubaan.”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan LUKAS 22:7-46

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami