Yesus menceritakan perumpamaan ini kepada orang ramai. “Ada seorang yang menanami ladang anggur, lalu menyewakannya kepada beberapa orang. Setelah itu dia pergi ke negeri lain dan tinggal lama di sana. Apabila tiba masanya untuk mengumpulkan buah anggur, pemilik ladang itu mengutus hambanya kepada penyewa-penyewa ladang itu untuk menerima hasil bahagiannya. Tetapi para penyewa ladang memukul hamba itu dan menyuruh dia pulang dengan tangan kosong. Pemilik ladang itu mengutus seorang lagi hambanya. Tetapi para penyewa ladang itu juga memukul hamba ini, mempermalukan dia, lalu menyuruh dia pulang dengan tangan kosong. Kemudian pemilik ladang itu mengutus hamba ketiga. Penyewa-penyewa ladang itu juga mencederakan hamba ini dan membuang dia ke luar ladang itu. Pemilik ladang itu berkata, ‘Apakah yang harus aku lakukan? Aku akan mengutus anakku yang aku kasihi. Tentu mereka akan menghormati dia!’ Tetapi apabila para penyewa ladang itu nampak dia, mereka bercakap sesama sendiri, ‘Ini dia anak pemilik ladang. Mari kita bunuh dia, supaya kita dapat hartanya.’ Oleh itu mereka membuang dia ke luar ladang lalu membunuh dia.” Lalu Yesus bertanya, “Apakah yang akan dilakukan oleh pemilik ladang itu terhadap para penyewa ladang anggur itu? Dia akan datang dan membunuh semua penyewa ladang itu, lalu menyerahkan ladang itu kepada penyewa-penyewa lain.” Apabila orang di situ mendengar hal itu, mereka berkata, “Janganlah perkara ini berlaku!” Yesus memandang mereka lalu bertanya, “Jika demikian, apakah makna ayat Alkitab ini? ‘Batu yang dibuang oleh pembina bangunan telah menjadi batu yang paling utama.’ Semua orang yang jatuh pada batu itu akan hancur; dan sesiapa yang ditimpa batu itu akan tergilas menjadi debu.” Semua guru Taurat dan ketua imam di situ cuba menangkap Yesus pada saat itu juga, kerana mereka tahu bahawa perumpamaan itu ditujukan kepada mereka. Tetapi mereka takut akan orang ramai. Oleh itu mereka menunggu peluang yang baik. Mereka menyuap beberapa orang supaya berpura-pura, dan mengutus mereka untuk memerangkap Yesus dengan pertanyaan. Dengan demikian mereka dapat menyerahkan Yesus kepada kekuasaan gabenor. Lalu beberapa orang itu berkata kepada Yesus, “Guru, kami tahu bahawa apa yang guru katakan dan ajarkan itu benar. Kami tahu bahawa guru tidak memandang kedudukan orang, tetapi guru mengajar kehendak Allah bagi manusia dengan terus terang. Katakanlah, menurut Taurat bolehkah kita membayar cukai kepada Kaisar Roma?” Yesus mengetahui muslihat mereka. Dia berkata, “Tunjukkan sekeping mata wang kepada-Ku. Gambar dan nama siapakah ini?” “Kaisar!” jawab mereka. Oleh itu Yesus berkata, “Baiklah, jika demikian, berikan apa yang menjadi milik Kaisar kepada Kaisar dan berikan apa yang menjadi milik Allah kepada Allah.” Mereka tidak dapat mencari kesalahan Yesus di hadapan orang ramai. Mereka diam sahaja kerana hairan mendengar jawapan-Nya.
Baca LUKAS 20
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: LUKAS 20:9-26
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video