Pada suatu hari, Yesus mengajar dan menyampaikan Berita Baik di dalam Rumah Tuhan. Para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi datang dan berkata kepada Yesus, “Beritahulah kami, dengan hak siapa kamu melakukan perkara-perkara ini? Siapakah yang memberikan hak kepadamu untuk melakukannya?”
Yesus menjawab, “Aku juga ingin bertanya kepada kamu. Katakanlah, dengan hak siapakah Yohanes membaptis orang? Dengan hak Allah atau manusia?”
Mereka mula membincangkan soalan itu, “Apakah yang akan kita katakan? Jika kita menjawab, ‘Dengan hak Allah,’ Dia akan berkata, ‘Mengapa kamu tidak percaya kepada Yohanes?’ Tetapi jika kita berkata, ‘Dengan hak manusia,’ semua orang akan merejam kita, kerana mereka percaya bahawa Yohanes seorang nabi.” Lalu mereka menjawab, “Kami tidak tahu.”
Yesus berkata kepada mereka, “Jika demikian Aku pun tidak mahu memberitahu kamu dengan hak siapa Aku melakukan perkara-perkara ini.”
Yesus menceritakan perumpamaan ini kepada orang ramai. “Ada seorang yang menanami ladang anggur, lalu menyewakannya kepada beberapa orang. Setelah itu dia pergi ke negeri lain dan tinggal lama di sana. Apabila tiba masanya untuk mengumpulkan buah anggur, pemilik ladang itu mengutus hambanya kepada penyewa-penyewa ladang itu untuk menerima hasil bahagiannya. Tetapi para penyewa ladang memukul hamba itu dan menyuruh dia pulang dengan tangan kosong. Pemilik ladang itu mengutus seorang lagi hambanya. Tetapi para penyewa ladang itu juga memukul hamba ini, mempermalukan dia, lalu menyuruh dia pulang dengan tangan kosong. Kemudian pemilik ladang itu mengutus hamba ketiga. Penyewa-penyewa ladang itu juga mencederakan hamba ini dan membuang dia ke luar ladang itu. Pemilik ladang itu berkata, ‘Apakah yang harus aku lakukan? Aku akan mengutus anakku yang aku kasihi. Tentu mereka akan menghormati dia!’ Tetapi apabila para penyewa ladang itu nampak dia, mereka bercakap sesama sendiri, ‘Ini dia anak pemilik ladang. Mari kita bunuh dia, supaya kita dapat hartanya.’ Oleh itu mereka membuang dia ke luar ladang lalu membunuh dia.”
Lalu Yesus bertanya, “Apakah yang akan dilakukan oleh pemilik ladang itu terhadap para penyewa ladang anggur itu? Dia akan datang dan membunuh semua penyewa ladang itu, lalu menyerahkan ladang itu kepada penyewa-penyewa lain.”
Apabila orang di situ mendengar hal itu, mereka berkata, “Janganlah perkara ini berlaku!”
Yesus memandang mereka lalu bertanya, “Jika demikian, apakah makna ayat Alkitab ini?
‘Batu yang dibuang oleh pembina bangunan telah menjadi batu yang paling utama.’
Semua orang yang jatuh pada batu itu akan hancur; dan sesiapa yang ditimpa batu itu akan tergilas menjadi debu.”
Semua guru Taurat dan ketua imam di situ cuba menangkap Yesus pada saat itu juga, kerana mereka tahu bahawa perumpamaan itu ditujukan kepada mereka. Tetapi mereka takut akan orang ramai.