LUKAS 2:1-40

LUKAS 2:1-40 BM

Pada masa itu Kaisar Agustus menitahkan semua penduduk Empayar Roma mendaftarkan diri untuk dibanci. Pembancian yang pertama dijalankan sewaktu Kirenius menjadi gabenor negeri Siria. Semua orang pergi ke kota masing-masing untuk mendaftarkan diri. Yusuf berangkat dari Nasaret di Galilea, lalu pergi ke Betlehem di Yudea, tempat lahir Raja Daud. Yusuf pergi ke sana kerana dia keturunan Raja Daud. Dia mendaftarkan diri bersama-sama Maria, tunangannya yang sedang mengandung. Ketika mereka di Betlehem, tibalah masanya bagi Maria untuk bersalin. Dia melahirkan seorang anak lelaki, anaknya yang sulung. Anak itu dibedungnya lalu diletakkan di dalam palung, kerana mereka tidak mendapat tempat untuk menumpang. Pada malam itu, beberapa orang gembala sedang menjaga domba di padang. Tiba-tiba malaikat Tuhan menampakkan diri kepada mereka dan cahaya kemuliaan Tuhan menerangi mereka sehingga mereka ketakutan. Tetapi malaikat itu berkata, “Janganlah takut! Aku datang membawa Berita Baik untuk kamu, berita yang akan menggembirakan semua orang. Pada hari ini di kota Daud telah lahir Penyelamat kamu, Kristus, Tuhan. Inilah tandanya: Kamu akan menemui seorang bayi yang dibedung dengan kain dan berbaring di dalam palung.” Tiba-tiba malaikat itu disertai oleh sepasukan besar malaikat syurga, yang memuji-muji Allah, “Termulialah Allah di langit yang tertinggi! Dan di atas bumi, sejahteralah manusia yang menyenangkan hati-Nya!” Setelah para malaikat itu meninggalkan mereka dan kembali ke syurga, gembala-gembala itu bercakap sesama mereka, “Marilah kita pergi ke Betlehem dan melihat perkara yang berlaku itu, yang sudah diberitahukan oleh Tuhan kepada kita.” Mereka segera pergi, lalu menjumpai Maria, Yusuf, dan bayi yang sedang berbaring di dalam palung. Apabila para gembala melihat bayi itu, mereka memberitahu semua orang di situ apa yang dikatakan oleh malaikat tentang bayi itu. Semua orang yang mendengarnya hairan akan apa yang dikatakan oleh para gembala itu. Tetapi Maria menyimpan semua perkara itu di dalam hati dan merenungkannya. Semua gembala itu kembali ke padang sambil memuji-muji Allah bagi segala yang sudah didengar dan dilihat oleh mereka, kerana semuanya tepat seperti yang dikatakan oleh malaikat. Sesudah berumur lapan hari, tibalah masanya anak itu disunat. Dia dinamakan Yesus, nama yang diberikan oleh malaikat kepada-Nya sebelum Dia dikandung oleh ibu-Nya. Tibalah masanya Yusuf dan Maria menjalankan upacara penyucian menurut Taurat Musa. Oleh itu, mereka membawa anak itu ke Yerusalem untuk diserahkan kepada Tuhan. Di dalam hukum Tuhan tertulis, “Tiap-tiap anak lelaki sulung harus diserahkan kepada Tuhan.” Mereka juga mempersembahkan korban menurut hukum Tuhan, iaitu sepasang burung dara atau dua ekor burung merpati muda. Pada masa itu di Yerusalem ada seorang lelaki bernama Simeon. Dia seorang yang baik dan takut akan Allah. Dia menantikan masanya Allah menyelamatkan Israel. Roh Allah menyertai Simeon dan memberitahu dia bahawa dia tidak akan meninggal sebelum melihat Penyelamat yang dijanjikan oleh Tuhan. Dengan pimpinan Roh Allah Simeon masuk ke Rumah Tuhan. Pada waktu itu Yusuf dan Maria membawa Yesus yang masih kecil itu ke Rumah Tuhan untuk melakukan apa yang diperintahkan Taurat bagi-Nya. Simeon mengambil anak itu lalu mendukung-Nya sambil memuji Allah, “Sekarang, ya Tuhan, Engkau telah menepati janji-Mu. Biarlah hamba-Mu meninggal dengan tenteram. Dengan mataku sendiri aku sudah melihat Penyelamat yang datang daripada-Mu. Penyelamat yang telah Engkau sediakan di hadapan semua bangsa; bagaikan cahaya yang menunjukkan kehendak-Mu bagi bangsa-bangsa lain dan cahaya yang mendatangkan kemuliaan bagi umat-Mu Israel.” Ibu bapa anak itu hairan mendengar apa yang dikatakan oleh Simeon tentang anak itu. Simeon memberkati mereka dan berkata kepada Maria, ibu anak itu, “Anak ini sudah dipilih oleh Allah untuk membinasakan dan menyelamatkan banyak orang Israel. Dia akan menjadi tanda daripada Allah, yang akan dilawan oleh banyak orang, dan dengan demikian terdedahlah rahsia fikiran mereka. Seperti pedang yang tajam, kesedihan akan menikam hatimu.” Ada pula seorang nabi wanita bernama Hana anak Fanuel, daripada suku Asyer. Dia balu dan umurnya sudah lanjut. Dia berkahwin selama tujuh tahun, dan sekarang umurnya lapan puluh empat tahun. Dia tidak pernah meninggalkan Rumah Tuhan. Siang malam dia beribadat kepada Allah dengan berdoa dan berpuasa. Tepat pada waktu itu dia datang, lalu bersyukur kepada Allah. Dia bercakap tentang anak itu kepada semua orang yang menantikan masanya Allah membebaskan Yerusalem. Setelah Yusuf dan Maria melakukan segala yang diwajibkan oleh hukum Tuhan, mereka kembali ke kampung mereka di Nasaret, di daerah Galilea. Demikianlah anak itu bertambah besar dan kuat. Dia sangat bijaksana dan Allah berkenan kepada-Nya.