LUKAS 19:28-41

LUKAS 19:28-41 BM

Setelah Yesus berkata demikian, Dia berjalan di hadapan mereka lalu menuju ke Yerusalem. Apabila Yesus tiba dekat Betfage dan Betania di Bukit Zaitun, Dia menyuruh dua orang pengikut-Nya berjalan terlebih dahulu. Dia berkata kepada mereka, “Pergilah ke pekan yang di hadapan itu. Apabila kamu tiba di situ, kamu akan mendapati seekor anak keldai yang tertambat. Haiwan itu belum pernah ditunggang orang. Lepaskanlah dan bawalah keldai itu ke mari. Jika orang bertanya, ‘Mengapa kamu melepaskan keldai itu?’ beritahu orang itu, ‘Tuhan memerlukannya.’ ” Kedua-dua orang pengikut itu pun pergi dan mendapati semuanya seperti yang dikatakan oleh Yesus. Sedang mereka melepaskan anak keldai itu, pemiliknya berkata kepada mereka, “Mengapa kamu melepaskan keldai itu?” Mereka menjawab, “Tuhan memerlukannya.” Lalu mereka membawa anak keldai itu kepada Yesus. Mereka menaruh jubah mereka pada punggung keldai itu lalu menolong Yesus naik ke atasnya. Sementara Yesus lalu dengan menunggang keldai itu, orang ramai membentangkan jubah di jalan. Apabila Yesus hampir sampai di Yerusalem, di jalan yang menurun dari Bukit Zaitun, semua pengikut-Nya mula bersyukur kepada Allah dan memuji Allah dengan suara keras kerana semua mukjizat yang sudah disaksikan oleh mereka. “Diberkatilah Dia yang datang dengan kuasa Tuhan! Sejahtera di syurga dan kemuliaan bagi Allah!” Lalu beberapa orang Farisi antara orang ramai itu berkata kepada Yesus, “Guru, suruhlah semua pengikut guru diam.” Yesus menjawab, “Percayalah, jika mereka diam, batu-batu ini akan mula berseru.” Yesus semakin dekat Yerusalem dan apabila Dia melihat kota itu, Dia menangisinya.