LUKAS 14:25-35

LUKAS 14:25-35 BM

Orang ramai berjalan bersama-sama Yesus; Dia berpaling dan berkata kepada mereka, “Sesiapa yang datang kepada-Ku tetapi tidak dapat mengasihi Aku lebih daripada ibunya, bapanya, isterinya, anak-anaknya, saudara lelakinya, dan saudara perempuannya, bahkan dirinya sendiri, tidak dapat menjadi pengikut-Ku. Sesiapa yang tidak mahu memikul salibnya sendiri dan mengikut Aku, tidak dapat menjadi pengikut-Ku. Jika seorang daripada kamu hendak membina sebuah menara, dia akan duduk dahulu lalu mengira perbelanjaannya, supaya dia tahu sama ada wangnya cukup untuk menyudahkan pekerjaan itu. Jika tidak, setelah meletakkan batu asasnya dia tidak dapat menyudahkan pekerjaan itu. Lalu semua orang yang melihat apa yang telah berlaku akan mentertawakan dia. Mereka akan berkata, ‘Lihatlah, orang ini memulakan kerja tetapi tidak dapat menyudahkannya!’ Jika seorang raja yang mempunyai sepuluh ribu orang askar hendak berperang dengan raja lain yang mempunyai dua puluh ribu orang askar, raja itu akan duduk terlebih dahulu lalu mempertimbangkan sama ada dia cukup kuat untuk melawan musuhnya. Jika dia tahu bahawa dia tidak kuat, dia akan mengirim utusan untuk minta berdamai, semasa musuhnya masih jauh.” Akhirnya Yesus berkata, “Demikian juga dengan kamu. Tidak seorang pun daripada kamu dapat menjadi pengikut-Ku, kecuali dia meninggalkan segala miliknya.” “Garam sangat berguna, tetapi jika garam sudah menjadi tawar, garam itu tidak dapat menjadi masin lagi. Garam yang tawar tidak lagi berguna untuk menyuburkan tanah ataupun untuk dijadikan baja; sebaiknya dibuang sahaja. Jika kamu bertelinga, dengarlah baik-baik!”