IMAMAT 25:1-22

IMAMAT 25:1-22 BM

TUHAN berfirman kepada Musa di atas Gunung Sinai, dan memerintah dia supaya memberikan peraturan berikut kepada umat Israel. Apabila kamu masuk ke negeri yang akan diberikan oleh TUHAN kepada kamu, kamu harus menghormati TUHAN dengan cara ini: Pada setiap tahun ketujuh kamu tidak boleh mengusahakan tanah. Selama enam tahun kamu harus menanami ladang, memangkas pokok anggur, dan mengumpulkan hasil tanaman, tetapi setiap tahun ketujuh harus dikhaskan untuk TUHAN. Oleh itu sepanjang tahun itu, tanah tidak boleh diusahakan sama sekali. Jangan tanami ladang dan jangan pangkas pokok anggur kamu. Jangan tuai gandum yang tumbuh dengan sendirinya, dan jangan petik buah anggur dari pokok yang tidak dipangkas, kerana pada tahun itu tanah tidak boleh diusahakan sama sekali. Walaupun begitu, tanah yang tidak kamu usahakan pada tahun itu akan mengeluarkan hasil untuk dijadikan makanan kamu, abdi kamu, orang gaji kamu, orang asing yang tinggal dengan kamu, ternakan kamu dan binatang liar di negeri kamu. Apa sahaja yang dihasilkan tanah itu boleh dimakan. Hitunglah tujuh kali tujuh tahun, iaitu empat puluh sembilan tahun. Kemudian pada hari kesepuluh bulan ketujuh, iaitu Hari Pengampunan Dosa, suruhlah orang meniup trompet di seluruh negeri. Dengan demikian kamu mengekhaskan tahun yang kelima puluh, dan mengisytiharkan kebebasan kepada segenap penduduk negeri. Pada tahun itu, segala harta milik yang sudah dijual mesti dikembalikan kepada pemilik asal atau kepada keturunan pemilik itu. Sesiapa yang sudah dijual sebagai abdi mesti dikembalikan kepada keluarganya. Jangan tanami ladang kamu; jangan tuai gandum yang tumbuh dengan sendirinya di ladang kamu; jangan petik buah anggur dari pokok-pokok anggur yang tidak dipangkas di kebun kamu. Tahun itu tahun yang suci untuk kamu. Apa yang tumbuh dengan sendirinya di ladang kamu, dan yang kamu sendiri ambil, itu sahaja yang boleh kamu makan. Pada tahun itu, semua tanah yang sudah dijual mesti dikembalikan kepada pemilik asalnya. Oleh sebab itu apabila kamu menjual tanah kepada sesama orang Israel, atau membeli tanah daripada mereka, jangan lakukan jual beli itu dengan tidak jujur. Harga tanah itu mesti ditentukan menurut jumlah tahun tanah itu dapat mengeluarkan hasil sebelum Tahun Pengembalian yang akan datang. Jika masih lama lagi, harga tanah itu lebih mahal, tetapi jika masih tinggal beberapa tahun sahaja, harganya mesti lebih murah kerana yang dijual itu adalah jumlah hasil tanah itu. Jangan tipu sesama orang Israel, tetapi takutlah akan TUHAN, Allah kamu. Patuhilah semua hukum dan perintah TUHAN supaya kamu hidup dengan tenteram di negeri itu. Tanah negeri itu akan mengeluarkan hasil sehingga kamu mempunyai makanan yang cukup dan tinggal di sana dengan tenteram. Tetapi mungkin ada orang yang akan bertanya, “Makanan apakah yang akan ada pada tahun ketujuh itu, kerana tanah tidak akan ditanami dan hasilnya tidak dipungut?” TUHAN akan memberkati tanah itu pada tahun keenam, sehingga tanah itu menghasilkan makanan yang cukup untuk tiga tahun. Pada masa kamu menanami ladang pada tahun kelapan, kamu masih makan hasil tanaman pada tahun keenam. Kamu akan mempunyai cukup makanan sehingga sampai masanya kamu mengumpulkan hasil tanaman pada tahun itu.