YOEL 2:1-17

YOEL 2:1-17 BM

Tiuplah trompet, bunyikan tanda kecemasan di Sion, bukit suci Allah. Gementarlah, hai penduduk Yehuda, kerana Hari TUHAN segera tiba. Hari itu gelap dan mendung, hari kelam dan berawan. Bala tentera belalang itu mara seperti kegelapan yang meliputi pergunungan. Belum pernah berlaku perkara seperti ini, dan perkara ini tidak akan berulang lagi. Seperti api yang membakar dan menghanguskan, kawanan belalang makan segala tanaman. Di hadapan kawanan belalang, padang indah bagaikan taman Eden. Tetapi di belakang kawanan belalang, padang itu sudah menjadi gersang. Segala-galanya dimusnahkan oleh belalang. Rupa belalang itu seperti kuda, dan berlari seperti kuda perang. Apabila belalang hinggap di atas gunung, belalang berdetar bagaikan kereta kuda, dan gemeretik bagaikan rumput kering terbakar. Belalang berbaris seperti bala tentera yang siap untuk menyerang. Apabila belalang mara, semua orang takut; tiap-tiap muka orang menjadi pucat. Belalang menyerang seperti pahlawan, dan memanjat tembok seperti askar. Semua belalang terus mara ke depan, tanpa menukar haluan atau berlanggar-langgar. Belalang merempuh segala halangan, tiada yang dapat menegah. Belalang menyerang kota, berlari di atas tembok kota, memanjat rumah-rumah, dan masuk melalui jendela seperti pencuri. Bumi bergoncang ketika belalang mara, dan langit pun bergegar. Matahari dan bulan menjadi gelap, bintang-bintang tidak lagi bercahaya. TUHAN memberikan perintah dengan nyaring kepada tentera-Nya. Askar yang taat kepada-Nya banyak dan perkasa. Alangkah dahsyatnya hari TUHAN! Tidak seorang pun akan dapat bertahan. TUHAN berfirman, “Tetapi sekarang bertaubatlah dengan sungguh-sungguh dan kembalilah kepada-Ku dengan berpuasa, menangis, dan meratap. Biarlah hati kamu yang hancur itu menyatakan penyesalan, jangan hanya mengoyakkan pakaian.” Kembalilah kepada TUHAN Allah kamu. Dia penyayang dan penuh rahmat; Dia sabar dan menepati janji-Nya; Dia sentiasa sedia mengampuni dan tidak suka menghukum. Mungkin TUHAN Allah kamu akan mengubah fikiran-Nya, lalu memberkati kamu dengan hasil bumi yang banyak. Oleh itu kamu dapat mempersembahkan gandum dan wain kepada-Nya. Tiuplah trompet di Bukit Sion; berikanlah perintah untuk berpuasa, dan adakanlah satu perhimpunan. Kumpulkanlah segenap rakyat, siapkanlah mereka untuk perhimpunan umat, bawalah orang tua, kumpulkanlah anak-anak dan bayi-bayi juga. Pasangan yang baru berkahwin pun mesti meninggalkan bilik, lalu datang. Para imam yang mengabdi kepada TUHAN di antara mazbah dan pintu Rumah TUHAN, mesti menangis dan berdoa demikian, “Kasihanilah umat-Mu, ya TUHAN. Jangan biar bangsa lain menghina dan mengolok-olok kami dengan berkata, ‘Di manakah Allah kamu?’ ”