Kemudian dari angin ribut, TUHAN berfirman kepada Ayub, “Siapakah engkau, sehingga berani menyoal hikmat-Ku dengan kata-kata yang bodoh dan kosong itu? Sekarang, bersedialah untuk menghadapi Aku, dan jawablah soalan-soalan-Ku. Adakah engkau hadir ketika Aku mencipta dunia? Jika engkau sangat pandai, jawablah. Siapakah yang menentukan keluasan dunia? Siapakah yang merentangkan tali ukur untuk mengukurnya? Tahukah engkau jawapannya? Apakah yang menyangga tiang-tiang bumi? Siapakah yang meletakkan batu penjuru dunia ini, pada waktu bintang-bintang pagi bernyanyi bersama-sama, dan makhluk-makhluk syurga bersorak gembira? Siapakah yang menutup pintu untuk membendung samudera ketika air memancar keluar dari rahim bumi? Akulah yang meliputi laut dengan awan dan menyelimutinya dengan kegelapan. Aku menentukan sempadan samudera dan dengan pintu berpalang Aku membendungnya. Aku memberitahunya, ‘Hingga di sini sahaja, dan tidak lebih jauh lagi! Di sinilah ombakmu yang kuat mesti berhenti.’ Hai Ayub, pernahkah dalam hidupmu engkau mendatangkan pagi, dan memerintah fajar merekah? Pernahkah engkau menyuruh fajar menguasai bumi dan mengebas orang jahat dari tempat mereka bersembunyi? Cahaya matahari menampakkan bukit dan lembah sejelas cap pada tanah liat dan lipatan pada jubah. Cahaya matahari terlalu cerah untuk orang yang melakukan kejahatan, dan menghalang mereka daripada melakukan keganasan. Pernahkah engkau turun ke sumber mata laut? Pernahkah engkau berjalan di dasar laut? Pernahkah sesiapa menunjukkan pintu gerbang maut kepada kamu, pintu yang menutup alam maut yang gelap gelita itu? Tahukah engkau keluasan dunia? Jawablah, jika engkau tahu segalanya.
Baca AYUB 38
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: AYUB 38:1-18
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video