AYUB 21

21
Ayub
1Kemudian Ayub menjawab,
2“Dengarlah apa yang aku katakan;
hanya itu yang aku minta sebagai penghiburan.
3Bersabarlah apabila aku bercakap;
selepas itu, ejeklah aku sesuka hati kamu.
4Keluhanku tidak tertuju kepada manusia;
tidak mengapalah aku berasa kurang sabar.
5Pandanglah aku, maka kamu akan tercengang,
kamu akan terkejut dan terdiam.
6Apabila aku memikirkan keadaanku ini,
aku gementar kerana ngeri.
7Mengapa orang jahat panjang umur,
dan menjadi makmur?
8Mereka mendapat anak dan cucu,
dan dapat melihat mereka menjadi dewasa.
9Allah tidak mendatangkan bencana pada keluarga mereka;
mereka selamat dan aman sentosa.
10Ternakan mereka membiak
dan beranak tanpa kesulitan.
11Anak mereka berlari-lari dengan gembira,
dan bermain-main seperti anak domba.
12Anak mereka menyanyi dan menari-nari,
diiringi bunyi tamburin, seruling, dan kecapi.
13Mereka hidup dalam kemakmuran,
dan meninggal dengan kesejahteraan.
14Orang jahat menyuruh Allah menjauhi mereka;
mereka tidak mahu mengetahui kehendak-Nya bagi hidup mereka.
15Mereka berfikir bahawa tidak berguna mengabdi kepada Allah
dan tidak bermanfaat berdoa kepada-Nya.
16Mereka berkata bahawa mereka berjaya kerana usaha mereka;
tetapi pendapat mereka itu tidak dapat aku terima.
17Pernahkah hidup orang jahat dipadamkan seperti pelita?
Pernahkah mereka ditimpa bencana?
Pernahkah Allah murka terhadap mereka
sehingga Dia menghukum mereka?
18Pernahkah mereka menjadi seperti jerami yang ditiup angin,
ataupun seperti sekam yang diterbangkan ribut?
19Kamu berkata, ‘Allah menghukum anak kerana kesalahan bapanya.’
Tetapi aku berkata, biarlah Allah menghukum orang yang bersalah,
supaya mereka sedar bahawa mereka dihukum Allah
kerana kesalahan mereka.
20Biarlah orang yang bersalah menanggung hukuman mereka;
biarlah mereka merasai kemurkaan Yang Maha Kuasa.
21Setelah orang meninggal dunia,
masihkah mereka peduli akan kebahagiaan keluarga mereka?
22Dapatkah manusia mengajar Allah?
Bukankah Allah juga yang mengadili makhluk di syurga?
23-24Ada orang yang sihat dan masih penuh tenaga
sehingga saat kematian mereka.
Mereka meninggal dengan tenang dan bahagia,
sedang tubuh mereka masih berdaya.
25Ada pula orang yang tidak mempunyai kebahagiaan;
mereka hidup lalu mati dengan penuh kepahitan.
26Tetapi di dalam kubur mereka semua sama-sama terbaring;
dikerumuni oleh ulat dan cacing.
27Aku tahu apa yang kamu fikirkan,
dan kejahatan terhadap aku yang kamu rancangkan.
28Kamu bertanya, ‘Di manakah rumah orang kenamaan,
orang yang melakukan kejahatan?’
29Belum pernahkah kamu berbual dengan pengembara?
Tidakkah kamu percaya akan laporan mereka?
30Mereka berkata bahawa orang jahatlah yang selalu terlepas
pada hari Allah murka dan menjatuhkan hukuman.
31Tiada seorang pun yang menuduh mereka,
ataupun membalas perbuatan mereka.
32Apabila mereka dibawa ke tanah perkuburan,
batu nisan mereka dikawal,
33ribuan orang berjalan mengiringi jenazah mereka,
dan dengan lembut tanah menimbus jenazah mereka.
34Tetapi kamu cuba menghiburkan aku dengan cakap kosong,
dan segala jawapan kamu itu bohong!”

Terpilih Sekarang Ini:

AYUB 21: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk