Semasa Yesus berjalan, Dia melihat seorang yang buta sejak lahir. Pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya, “Guru, siapakah yang berdosa sehingga orang ini dilahirkan buta? Diakah atau ibu bapanya?”
Yesus menjawab, “Orang ini buta bukan kerana dosanya sendiri ataupun dosa ibu bapanya, tetapi supaya kuasa Allah boleh dinyatakan dalam hidupnya. Selama hari masih terang, kita harus melakukan tugas yang diberikan oleh Dia yang mengutus Aku. Malam akan tiba dan tidak seorang pun dapat melakukan apa-apa. Selama Aku di dunia ini, Akulah cahaya bagi dunia.”
Setelah Yesus berkata demikian, Dia meludah ke tanah dan meliat tanah dengan ludah-Nya. Kemudian Dia menyapukan tanah itu pada mata orang itu. Lalu Yesus berkata kepadanya, “Pergilah basuh mukamu di Kolam Siloam.” (Dalam bahasa Ibrani kata “Siloam” bererti “Diutus”.) Oleh itu, orang itu pergi membasuh muka dan ketika dia kembali, dia dapat melihat.
Jiran-jirannya dan semua orang yang selalu melihat dia meminta sedekah, bertanya, “Bukankah orang ini yang selalu duduk meminta sedekah?”
Beberapa orang berkata, “Memang dia,” tetapi yang lain berkata, “Bukan, orang ini hanya mirip dengan dia.”
Tetapi orang itu sendiri berkata, “Sayalah dia.”
Mereka bertanya kepadanya, “Bagaimanakah kamu dapat melihat sekarang?”
Dia menjawab, “Orang yang bernama Yesus meliat sedikit tanah, lalu menyapukannya pada mata saya dan berkata, ‘Pergilah basuh mukamu di Kolam Siloam.’ Saya pun pergi, lalu sebaik sahaja saya membasuh muka, saya dapat melihat.”
Mereka bertanya, “Di manakah orang itu?”
Dia menjawab, “Saya tidak tahu.”
Yesus meliat tanah dan mencelikkan mata seorang buta pada hari Sabat. Oleh itu, orang yang tadinya buta dibawa kepada beberapa orang Farisi. Kemudian mereka bertanya kepadanya bagaimana dia dapat melihat. Dia berkata, “Orang itu menyapukan tanah liat pada mata saya, lalu saya membasuh muka dan saya dapat melihat.”
Beberapa orang Farisi itu berkata, “Orang yang melakukan hal ini tidak mungkin berasal daripada Allah, kerana Dia tidak mentaati peraturan hari Sabat.”
Yang lain berkata, “Bagaimanakah seorang berdosa dapat melakukan mukjizat-mukjizat seperti ini?” Lalu timbullah pertentangan pendapat di kalangan mereka.
Oleh itu orang Farisi di situ bertanya lagi kepadanya, “Kamu berkata dia mencelikkan matamu. Baiklah, apakah pendapatmu tentang dia?”
“Dia nabi,” jawabnya.
Para penguasa Yahudi tidak mahu percaya bahawa dahulu dia buta tetapi sekarang dapat melihat. Oleh itu mereka memanggil ibu bapanya, lalu bertanya kepada mereka, “Benarkah dia ini anak kamu yang menurut kata kamu dilahirkan buta? Bagaimanakah sekarang dia dapat melihat?”
Ibu bapanya menjawab, “Memang dia anak kami dan dia memang buta sejak lahir. Tetapi kami tidak tahu bagaimana sekarang dia dapat melihat, dan siapa yang mencelikkan matanya. Dia sudah dewasa. Tanyalah dia, dia dapat menjawab sendiri.” Ibu bapanya berkata demikian kerana mereka takut akan para penguasa Yahudi. Para penguasa itu sudah bersepakat bahawa sesiapa mengakui Yesus sebagai Penyelamat yang diutus oleh Allah, akan tidak dibenarkan masuk ke rumah ibadat. Itulah sebabnya ibu bapanya berkata, “Dia sudah dewasa; tanyalah dia.”
Sekali lagi mereka memanggil orang yang dahulunya buta dan berkata kepadanya, “Mengakulah di hadapan Allah! Kami tahu bahawa orang yang menyembuhkan kamu itu orang berdosa.”
Orang itu menjawab, “Sama ada dia berdosa atau tidak, saya tidak tahu. Tetapi satu perkara saya tahu; dahulu saya buta, sekarang saya dapat melihat.”