YOHANES 6:35-69

YOHANES 6:35-69 BM

“Akulah roti yang memberikan hidup,” kata Yesus kepada mereka. “Orang yang datang kepada-Ku tidak akan lapar dan orang yang percaya kepada-Ku tidak akan dahaga selama-lamanya. Aku telah memberitahu kamu bahawa kamu sudah melihat Aku, namun kamu tidak percaya kepada-Ku. Semua orang yang diserahkan oleh Bapa kepada-Ku akan datang kepada-Ku. Aku tidak akan menolak sesiapa pun yang datang kepada-Ku, kerana Aku sudah turun dari syurga bukan untuk melakukan kehendak-Ku sendiri, tetapi kehendak Dia yang mengutus Aku. Inilah kehendak Dia yang mengutus Aku: Daripada semua orang yang diserahkan kepada-Ku, tidak seorang pun hilang, tetapi Aku harus membangkitkan mereka semua pada Hari Kiamat. Memang inilah kehendak Bapa-Ku: Semua orang yang melihat Anak lalu percaya kepada-Nya akan beroleh hidup sejati dan kekal, dan Aku akan membangkitkan mereka pada Hari Kiamat.” Orang Yahudi di situ mula bersungut-sungut terhadap Yesus, kerana Dia berkata, “Aku roti yang turun dari syurga.” Mereka berkata, “Bukankah dia ini Yesus, anak Yusuf? Kami mengenal ibu bapanya. Bagaimanakah dia dapat berkata bahawa dia turun dari syurga?” Yesus berkata kepada mereka, “Janganlah bersungut-sungut sesama sendiri. Tidak seorang pun dapat datang kepada-Ku, kecuali Bapa yang mengutus Aku, memimpin dia datang kepada-Ku lalu Aku akan membangkitkan dia pada Hari Kiamat. Di dalam Kitab Nabi-Nabi tertulis, ‘Semua orang akan diajar oleh Allah.’ Oleh itu sesiapa yang mendengar Bapa dan belajar daripada-Nya, datang kepada-Ku. Hal ini tidak bererti bahawa orang sudah melihat Bapa. Hanya Dia yang datang daripada Allah sudah melihat Bapa. Apa yang Aku katakan ini benar: Orang yang percaya kepada-Ku mempunyai hidup sejati dan kekal. Akulah roti yang memberikan hidup. Nenek moyang kamu makan manna di padang gurun, dan mereka mati juga. Tetapi tidak demikian halnya dengan roti yang turun dari syurga; orang yang makan roti itu tidak akan mati. Akulah roti yang memberikan hidup, roti yang turun dari syurga. Orang yang makan roti ini akan hidup selama-lamanya. Roti yang akan Aku berikan itu tubuh-Ku. Aku memberikannya supaya orang di dunia ini boleh hidup.” Mendengar kata-kata ini, orang Yahudi mula bertengkar sesama sendiri. “Bagaimanakah orang ini boleh memberikan tubuhnya kepada kita untuk dimakan?” kata mereka. Yesus berkata kepada mereka, “Apa yang Aku katakan ini benar: Jika kamu tidak makan tubuh Anak Manusia dan minum darah-Nya, kamu tidak akan benar-benar hidup. Sesiapa yang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku mempunyai hidup sejati dan kekal, lalu Aku akan membangkitkan dia pada Hari Kiamat. Tubuh-Ku ini makanan sebenar dan darah-Ku ini minuman sebenar. Sesiapa yang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku, hidup bersatu dengan Aku dan Aku dengan dia. Bapa yang hidup mengutus Aku; dan Aku hidup, kerana Dia hidup. Begitu juga orang yang makan tubuh-Ku akan hidup kerana Aku. Inilah roti yang turun dari syurga; roti ini bukan seperti roti yang dimakan nenek moyang kamu, kerana setelah memakannya mereka mati juga. Tetapi orang yang makan roti ini akan hidup selama-lamanya.” Semuanya ini dikatakan oleh Yesus semasa Dia mengajar di rumah ibadat di Kapernaum. Banyak pengikut-Nya mendengar kata-kata-Nya lalu berkata, “Ajaran ini terlalu sukar. Siapakah dapat menerimanya?” Tanpa diberitahu, Yesus tahu bahawa pengikut-pengikut-Nya bersungut-sungut tentang hal itu. Oleh itu Dia berkata kepada mereka, “Adakah hal itu menyebabkan kamu tidak mahu percaya lagi? Bagaimanakah jika kamu melihat Anak Manusia naik semula ke tempat asal-Nya? Yang menyebabkan manusia hidup ialah Roh Allah. Dengan kekuatan sendiri, manusia tidak dapat melakukannya. Kata-kata yang Aku katakan kepada kamu datangnya daripada Roh Allah yang memberikan hidup. Namun ada beberapa orang antara kamu yang tidak percaya.” (Yesus tahu dari mulanya siapa-siapa yang tidak mahu percaya, dan orang yang akan mengkhianati Dia.) Dia berkata lagi, “Itulah sebabnya Aku berkata kepada kamu bahawa tidak seorang pun boleh datang kepada-Ku, kecuali Bapa memperkenankannya.” Sejak itu banyak pengikut Yesus meninggalkan Dia dan tidak mahu mengikut Dia lagi. Oleh itu Yesus bertanya kepada dua belas orang pengikut-Nya, “Adakah kamu pun akan meninggalkan Aku?” Simon Petrus berkata kepada-Nya, “Ya Tuhan, kepada siapakah kami akan pergi? Kata-kata Tuhan memberikan hidup sejati dan kekal. Sekarang kami percaya dan yakin bahawa Tuhan utusan suci daripada Allah.”