YOHANES 6:1-15

YOHANES 6:1-15 BM

Selepas itu Yesus pergi ke seberang Tasik Galilea, yang juga disebut Tasik Tiberias. Banyak orang mengikuti-Nya, kerana mereka telah melihat mukjizat yang dilakukan-Nya ketika Dia menyembuhkan orang sakit. Kemudian Yesus naik ke atas bukit lalu duduk di situ dengan pengikut-pengikut-Nya. Pada waktu itu sudah hampir Perayaan Paska orang Yahudi. Yesus melihat di sekeliling-Nya dan Dia nampak orang berduyun-duyun datang kepada-Nya. Oleh itu Yesus berkata kepada Filipus, “Di manakah kita boleh membeli makanan yang cukup untuk semua orang ini?” ( Yesus mengetahui apa yang akan dilakukan-Nya, tetapi Dia berkata demikian kerana Dia hendak menguji Filipus.) Filipus menjawab, “Roti seharga dua ratus keping wang perak pun tidak cukup untuk semua orang ini, meskipun setiap orang mendapat sedikit sahaja.” Pengikut-Nya yang lain, iaitu Andreas, saudara Simon Petrus berkata, “Seorang anak lelaki di sini mempunyai lima ketul roti barli dan dua ekor ikan. Tetapi apa gunanya untuk orang sebanyak ini?” Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Suruhlah mereka duduk.” (Di situ terdapat banyak rumput.) Orang ramai pun duduk; semuanya berjumlah kira-kira lima ribu orang lelaki. Yesus mengambil roti itu, lalu Dia mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia membahagi-bahagikan roti itu kepada orang ramai yang duduk di situ. Selepas itu Dia membahagi-bahagikan ikan itu, lalu semua orang makan sepuas-puasnya. Setelah semua orang makan sampai kenyang, Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Kumpulkanlah lebihan makanan, jangan sampai ada yang terbuang.” Mereka mengumpulkan dua belas buah bakul lebihan makanan daripada lima ketul roti barli yang dimakan oleh orang ramai. Apabila orang ramai melihat mukjizat yang dilakukan oleh Yesus, mereka berkata, “Sesungguhnya Dia Nabi yang diharapkan datang ke dunia!” Yesus tahu bahawa mereka akan datang dan memaksa Dia menjadi raja. Oleh itu Yesus pergi seorang diri ke daerah berbukit.