YOHANES 5:19-44

YOHANES 5:19-44 BM

Yesus menjawab mereka, “Percayalah, Anak tidak dapat melakukan apa-apa menurut kehendak-Nya sendiri. Dia hanya melakukan apa yang dilihat-Nya dilakukan oleh Bapa-Nya. Apa yang dilakukan oleh Bapa, perkara itu juga yang dilakukan oleh Anak. Bapa mengasihi Anak dan menunjukkan segala yang dilakukan-Nya kepada-Nya. Dia akan menyatakan perkara-perkara yang lebih besar lagi kepada Anak sehingga kamu semua hairan. Sebagaimana Bapa membangkitkan orang mati dan menyebabkan mereka hidup, begitu juga Anak memberikan hidup kepada orang yang dikehendaki-Nya. Bapa tidak menghakimi sesiapa pun. Dia sudah menyerahkan segala kekuasaan untuk menghakimi orang kepada Anak-Nya. Oleh itu semua orang menghormati Anak sebagaimana mereka menghormati Bapa. Orang yang tidak menghormati Anak, juga tidak menghormati Bapa yang mengutus Anak. Sungguh benar kata-kata-Ku ini: Sesiapa yang mendengar kata-kata-Ku dan percaya kepada Dia yang mengutus Aku, beroleh hidup sejati dan kekal. Dia tidak akan dihukum, melainkan sudah terlepas daripada kematian dan mulai benar-benar hidup. Percayalah: Akan tiba masanya, malah sudah tiba, apabila orang mati akan mendengar suara Anak Allah, dan orang yang mendengarkan apa yang dikatakan-Nya akan hidup. Sebagaimana Bapa sendiri sumber hidup, Dia menjadikan Anak-Nya sumber hidup juga. Dia sudah memberikan kuasa kepada Anak untuk menghakimi, kerana Anak itu Anak Manusia. Janganlah kamu hairan mendengar hal ini, kerana akan tiba masanya apabila semua orang mati akan mendengar suara-Nya, lalu keluar dari kubur. Orang yang berbuat baik akan bangkit dan hidup, tetapi orang yang berbuat jahat akan bangkit dan dihukum.” “Aku tidak dapat melakukan apa-apa menurut kehendak-Ku sendiri. Aku menghakimi orang menurut apa yang diperintahkan oleh Allah. Oleh itu keputusan-Ku adil, kerana Aku tidak mengikut kehendak-Ku sendiri, melainkan kehendak Dia yang mengutus Aku. Jika Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku sendiri, kesaksian itu tidak dapat diterima sebagai bukti yang benar. Tetapi Bapa memberikan kesaksian tentang diri-Ku, dan Aku tahu kesaksian-Nya benar. Kamu mengirim utusan kepada Yohanes, dan Yohanes sudah memberikan kesaksian yang benar tentang diri-Ku. Sebenarnya Aku tidak memerlukan kesaksian daripada manusia, tetapi Aku berkata demikian supaya kamu boleh diselamatkan. Yohanes bagaikan pelita yang menyala dan bersinar. Untuk sementara waktu kamu menikmati cahayanya dan kamu bersukacita. Tetapi kesaksian daripada perbuatan-Ku lebih penting daripada kesaksian Yohanes. Aku melakukan apa yang ditugaskan oleh Bapa-Ku, dan semua itu membuktikan bahawa Bapa sudah mengutus Aku. Bapa yang mengutus Aku pun memberikan kesaksian tentang diri-Ku. Kamu belum pernah mendengar suara-Nya atau melihat muka-Nya. Kamu tidak percaya kepada firman-Nya, kerana kamu tidak percaya kepada Dia yang diutus-Nya. Kamu menyelidiki Alkitab kerana menyangka bahawa dengan cara itu kamu akan beroleh hidup sejati dan kekal. Sebenarnya Alkitab memberikan kesaksian tentang Aku. Tetapi kamu tidak mahu datang kepada-Ku supaya beroleh hidup sejati. Aku tidak mengharapkan pujian daripada manusia. Aku kenal akan kamu. Aku tahu bahawa kamu sebenarnya tidak mengasihi Allah. Aku datang dengan kuasa Bapa-Ku, tetapi kamu tidak menyambut Aku. Tetapi manakala seorang lain datang dengan kuasanya sendiri, kamu menyambut dia. Bagaimanakah kamu boleh percaya kepada-Ku, jika kamu mencari pujian daripada sesama kamu sendiri? Kamu tidak berusaha untuk mencari pujian daripada Allah yang Esa.