Pagi-pagi sekali, mereka membawa Yesus dari rumah Kayafas ke istana gabenor. Para penguasa Yahudi tidak masuk ke dalam istana, supaya mereka tidak menjadi najis dari segi agama, kerana mereka mahu makan Perjamuan Paska. Oleh itu Pilatus keluar untuk menjumpai mereka. Dia bertanya, “Apakah tuduhan kamu terhadap orang ini?” Mereka menjawab, “Kami tidak akan membawa dia menghadap tuan jika dia tidak bersalah.” Pilatus berkata kepada mereka, “Ambillah dia dan adililah dia menurut hukum kamu sendiri.” Tetapi mereka menjawab, “Kami tidak dibenarkan menghukum mati sesiapa pun.” ( Hal ini berlaku supaya terjadilah apa yang dikatakan oleh Yesus tentang cara Dia akan mati.) Pilatus masuk kembali ke istana lalu memanggil Yesus. Dia bertanya kepada-Nya, “Adakah kamu raja orang Yahudi?” Yesus menjawab, “Adakah pertanyaan ini daripadamu atau orang lain sudah memberitahu kamu tentang diri-Ku?” Pilatus menjawab, “Adakah aku ini orang Yahudi? Bangsamu sendiri dan ketua-ketua imam sudah menyerahkan kamu kepadaku. Apakah yang sudah kamu lakukan?” Yesus berkata, “Pemerintahan-Ku bukan dari dunia ini. Jika pemerintahan-Ku dari dunia ini, semua orang-Ku akan melawan supaya Aku tidak diserahkan kepada para penguasa Yahudi. Tidak, pemerintahan-Ku bukan dari dunia ini!” Oleh itu Pilatus bertanya kepada-Nya, “Jika demikian, adakah kamu ini raja?” Yesus menjawab, “Kamu yang berkata bahawa Aku raja. Aku dilahirkan dan datang ke dunia untuk satu maksud sahaja; Aku datang untuk berkata tentang apa yang benar. Sesiapa yang menerima apa yang benar, mendengarkan Aku.” Pilatus bertanya kepada-Nya, “Apakah yang benar itu?”
Baca YOHANES 18
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: YOHANES 18:28-38
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video