YOHANES 14

14
Yesus Jalan kepada Bapa
1Yesus berkata kepada mereka, “Janganlah kamu risau. Percayalah kepada Allah dan percayalah kepada-Ku juga. 2Di dalam rumah Bapa-Ku terdapat banyak tempat kediaman, dan Aku akan pergi menyediakan tempat untuk kamu. Aku tidak akan berkata demikian kepada kamu, sekiranya hal itu tidak begitu. 3Setelah Aku pergi menyediakan tempat untuk kamu, Aku akan kembali lalu membawa kamu ke tempat-Ku, supaya kamu tinggal di tempat Aku tinggal. 4Kamu mengetahui jalan ke tempat Aku pergi itu.”
5Tomas berkata kepada-Nya, “Tuhan, kami tidak tahu ke mana Tuhan pergi, bagaimanakah kami dapat mengetahui jalan itu?”
6Yesus menjawab, “Akulah jalan untuk mengenal Allah dan untuk mendapat hidup. Tidak seorang pun dapat datang kepada Bapa kecuali melalui Aku. 7Kerana kamu mengenal Aku, kamu akan mengenal Bapa-Ku juga. Mulai sekarang kamu mengenal Dia dan sudah melihat Dia.”
8Filipus berkata kepada Yesus, “Ya Tuhan, tunjukkanlah Bapa kepada kami, supaya kami puas.”
9Tetapi Yesus menjawab, “Sudah lama Aku bersama-sama kamu semua, dan kamu belum mengenal Aku juga, Filipus? Orang yang sudah melihat Aku, sudah melihat Bapa. Mengapa kamu berkata, ‘Tunjukkanlah Bapa kepada kami’? 10Filipus, tidakkah kamu percaya bahawa Aku bersatu dengan Bapa, dan Bapa bersatu dengan Aku? Apa yang Aku katakan kepada kamu semua, tidak datang daripada Aku sendiri. Bapa, yang tetap bersatu dengan Aku melakukan semua itu. 11Percayalah kepada-Ku, bahawa Aku bersatu dengan Bapa, dan Bapa bersatu dengan Aku. Jika kamu tidak percaya kepada apa yang Aku katakan, percayalah kepada-Ku kerana perkara-perkara yang sudah Aku lakukan. 12Sungguh benar kata-kata-Ku ini: Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan melakukan apa yang Aku lakukan, bahkan dia akan melakukan hal-hal yang lebih besar lagi, kerana Aku pergi kepada Bapa. 13Aku akan melakukan apa sahaja yang kamu minta demi nama-Ku, supaya kemuliaan Bapa akan dinyatakan melalui Anak-Nya. 14Apa sahaja yang kamu minta daripada-Ku demi nama-Ku, Aku akan melakukannya.”
Yesus Menjanjikan Roh Allah
15“Jika kamu mengasihi Aku, kamu akan mentaati perintah-perintah-Ku. 16Aku akan memohon kepada Bapa dan Bapa akan memberi kamu Penolong lain, yang akan bersama-sama kamu selama-lamanya. 17Dia Roh Allah, yang menunjukkan apa yang benar tentang Allah. Dunia tidak dapat menerima Dia, kerana dunia tidak dapat melihat Dia ataupun mengenal Dia. Tetapi kamu mengenal Dia, kerana Dia tinggal dengan kamu dan bersatu dengan kamu.
18Aku tidak akan meninggalkan kamu sendirian seperti yatim piatu; Aku akan kembali kepada kamu. 19Tidak lama lagi, dunia tidak akan melihat Aku lagi, tetapi kamu akan melihat Aku. Kerana Aku hidup, kamu pun akan hidup. 20Apabila hari itu tiba, barulah kamu tahu bahawa Aku bersatu dengan Bapa, kamu bersatu dengan Aku, dan Aku pun bersatu dengan kamu.
21Sesiapa yang menerima dan melakukan perintah-perintah-Ku, mengasihi Aku. Bapa-Ku akan mengasihi sesiapa yang mengasihi Aku. Aku pun akan mengasihi orang itu dan menunjukkan diri kepadanya.”
22Yudas (bukan Yudas Iskariot) berkata kepada Yesus, “Tuhan, mengapa Tuhan menunjukkan diri kepada kami dan bukan kepada dunia?”
23Yesus menjawab, “Sesiapa mengasihi Aku akan mentaati ajaran-Ku. Bapa-Ku akan mengasihi dia. Bapa-Ku dan Aku akan datang kepada orang itu dan tinggal dengan dia. 24Sesiapa yang tidak mengasihi Aku, tidak mentaati ajaran-Ku. Ajaran yang kamu dengar ini bukan daripada Aku, tetapi daripada Bapa yang mengutus Aku.
25Aku memberitahu kamu semua ini semasa Aku masih bersama-sama kamu. 26Tetapi Roh Allah, Penolong yang akan diutus oleh Bapa demi nama-Ku, akan mengajar kamu segala-galanya dan akan mengingatkan kamu segala yang telah Aku katakan kepada kamu.
27Kesejahteraan Aku tinggalkan dengan kamu; kesejahteraan-Ku sendiri yang Aku berikan kepada kamu. Kesejahteraan yang Aku berikan kepada kamu bukan seperti yang diberikan oleh dunia. Janganlah kamu risau dan janganlah takut. 28Kamu sudah mendengar Aku berkata, ‘Aku akan pergi, tetapi Aku akan kembali kepada kamu.’ Jika kamu mengasihi Aku, kamu akan bersukacita kerana Aku pergi kepada Bapa, oleh sebab Bapa lebih besar daripada Aku. 29Demikianlah Aku memberitahukan semua ini kepada kamu sekarang, sebelum semuanya berlaku, supaya apabila berlaku kelak, kamu akan percaya kepada-Ku. 30Aku tidak boleh berkata-kata lebih lama lagi dengan kamu, kerana sudah tiba masanya penguasa dunia ini datang. Dia tidak berkuasa atas diri-Ku. 31Tetapi Aku melakukan segala yang diperintahkan oleh Bapa, supaya dunia tahu bahawa Aku mengasihi Bapa.
Marilah kita pergi dari sini.”

Terpilih Sekarang Ini:

YOHANES 14: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk