YOHANES 11:17-57

YOHANES 11:17-57 BM

Apabila Yesus tiba di tempat itu, Dia mendapati Lazarus sudah dikubur selama empat hari. Betania letaknya kira-kira tiga kilometer dari Yerusalem. Oleh itu banyak orang Yahudi datang melawat Maria dan Marta untuk menghibur mereka kerana kematian Lazarus. Apabila Marta mendengar seseorang berkata bahawa Yesus datang, dia pun keluar untuk menjumpai Yesus, tetapi Maria tinggal di rumah. Marta berkata kepada Yesus, “Ya Tuhan, jika Tuhan di sini pada masa itu, tentu saudaraku masih hidup! Sungguhpun demikian, aku tahu bahawa Allah akan mengabulkan apa sahaja yang Tuhan minta.” Yesus berkata kepada Marta, “Saudaramu akan hidup kembali.” Marta menjawab, “Aku tahu bahawa Lazarus akan hidup semula apabila orang mati dibangkitkan pada Hari Kiamat.” Yesus berkata kepada Marta, “Akulah yang membangkitkan orang mati dan yang memberikan hidup. Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati. Orang yang hidup dan percaya kepada-Ku, tidak akan mati selama-lamanya. Adakah kamu percaya akan hal ini?” “Ya Tuhan,” jawab Marta, “aku percaya bahawa Tuhan Anak Allah, Penyelamat yang diutus oleh Allah, dan yang dijanjikan untuk datang ke dunia ini.” Setelah Marta berkata demikian dia pun pergi memanggil Maria, saudaranya lalu berbisik kepadanya, “Guru di sini dan Dia memanggil kamu.” Mendengar hal itu, Maria cepat-cepat bangun lalu pergi menjumpai Yesus. ( Ketika itu, Yesus belum masuk ke kampung itu. Dia masih di tempat Marta menjumpai-Nya.) Orang Yahudi yang sedang menghibur Maria di rumah, mengikuti Maria ketika mereka melihat Maria bangun dengan cepat lalu keluar. Mereka menyangka dia hendak pergi ke kubur Lazarus untuk menangis di sana. Apabila Maria sampai ke tempat Yesus dan melihat Dia, Maria berlutut pada kaki Yesus dan berkata, “Tuhan, jika Tuhan di sini pada masa itu, tentu saudaraku masih hidup!” Apabila Yesus melihat Maria menangis dan semua orang Yahudi yang datang bersama-sama Maria juga menangis, Yesus sedih hati dan terharu. Dia bertanya kepada mereka, “Di manakah kamu mengubur dia?” Mereka menjawab, “Mari lihat, Tuhan.” Yesus menangis. Semua orang Yahudi di situ berkata, “Lihatlah! Dia sangat mengasihi Lazarus.” Tetapi beberapa orang antara mereka berkata, “Dia dapat membuat orang buta melihat. Mengapa dia tidak dapat mencegah kematian Lazarus?” Yesus sangat terharu lagi, lalu Dia pergi ke kubur. Kubur itu sebuah gua yang ditutup dengan sebuah batu besar. Lalu Yesus berkata, “Tepikan batu ini.” Tetapi Marta, saudara orang yang meninggal itu menjawab, “Tuhan, sudah empat hari dia dikuburkan. Tentu busuk baunya!” Yesus berkata kepada Marta, “Tidakkah Aku berkata kepadamu: Jika kamu percaya, kamu boleh melihat betapa besarnya kuasa Allah?” Mereka mengetepikan batu itu, lalu Yesus menengadah ke langit dan berkata, “Aku bersyukur kepada-Mu, ya Bapa, kerana Engkau mendengar permintaan-Ku. Aku tahu bahawa Engkau sentiasa mendengar permintaan-Ku. Aku berkata demikian untuk kebaikan semua orang di sini, supaya mereka percaya bahawa Engkaulah yang mengutus Aku.” Setelah Yesus berkata demikian, Dia berseru dengan suara kuat, “Lazarus, keluar!” Lazarus pun keluar. Tangan dan kakinya masih terbalut dengan kain kafan dan mukanya tertutup dengan kain penutup muka. Yesus berkata kepada orang ramai di situ, “Tanggalkan kain yang membalutnya dan biarlah dia pergi.” Banyak orang Yahudi yang datang melawat Maria, melihat apa yang dilakukan oleh Yesus, lalu mereka percaya kepada Yesus. Tetapi beberapa orang antara mereka balik kepada orang Farisi, lalu melaporkan apa yang telah dilakukan oleh Yesus. Oleh itu, orang Farisi dan ketua-ketua imam mengadakan mesyuarat dengan Majlis Agama. Mereka berkata, “Apakah yang harus kita lakukan? Lihatlah, orang ini melakukan banyak mukjizat! Jika kita biarkan Dia terus berbuat demikian, semua orang akan percaya kepada-Nya. Akhirnya penguasa Roma akan datang lalu menghancurkan Rumah Tuhan dan bangsa kita!” Seorang daripada mereka bernama Kayafas, Imam Agung pada tahun itu. Dia berkata, “Kamu tidak tahu apa-apa. Tidakkah kamu sedar bahawa lebih baik satu orang mati bagi umat kita daripada seluruh bangsa kita dibinasakan?” Sebenarnya dia tidak mengatakan hal ini menurut fikirannya sendiri. Tetapi sebagai Imam Agung tahun itu, dia bernubuat bahawa Yesus akan mati untuk orang Yahudi. Yesus mati bukan untuk orang Yahudi sahaja, tetapi juga untuk mengumpulkan dan menyatukan umat Allah yang tercerai-cerai. Sejak hari itu para penguasa Yahudi berkomplot untuk membunuh Yesus. Yesus tidak lagi berpergian secara terang-terangan di Yudea, tetapi Dia pergi ke bandar bernama Efraim dekat padang gurun. Dia dan pengikut-pengikut-Nya tinggal di sana. Pada masa itu sudah hampir Perayaan Paska orang Yahudi. Banyak orang dari kampung pergi ke Yerusalem untuk menjalankan upacara penyucian diri sebelum perayaan itu. Mereka mencari Yesus dan semasa di Rumah Tuhan, mereka bertanya sesama sendiri, “Apa pendapatmu? Dia barangkali tidak akan menghadiri perayaan ini.” Ketua-ketua imam dan orang Farisi sudah mengeluarkan perintah bahawa orang yang mengetahui tempat Yesus berada harus melaporkannya, supaya Dia dapat ditangkap.