YEREMIA 33:14-26

YEREMIA 33:14-26 BM

TUHAN berfirman, “Akan tiba masanya apabila Aku menepati janji-Ku kepada penduduk Israel dan Yehuda. Pada masa itu Aku akan memilih seorang yang adil daripada keturunan Daud untuk menjadi raja. Raja itu akan melakukan apa yang benar dan adil di seluruh negeri. Penduduk Yehuda dan Yerusalem akan diselamatkan, dan mereka akan hidup dengan aman. Kota itu akan dinamakan ‘TUHAN Penyelamat Kita’. Aku, TUHAN, berjanji bahawa selalu akan ada seorang daripada keturunan Daud yang menjadi raja Israel; dan selalu akan ada imam daripada suku Lewi untuk mengabdi kepada-Ku dan mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati-Ku, korban untuk mengucap syukur kepada-Ku, dan korban-korban lain.” TUHAN berfirman kepadaku, “Aku telah membuat perjanjian dengan siang dan malam, supaya siang dan malam selalu datang tepat pada waktunya. Perjanjian itu tidak dapat dibatalkan. Demikian juga Aku telah membuat perjanjian dengan hamba-Ku Daud, bahawa daripada keturunannya selalu akan ada seorang yang menjadi raja; dan Aku telah membuat perjanjian dengan para imam keturunan Lewi, bahawa mereka akan selalu mengabdi kepada-Ku. Perjanjian-perjanjian itu tidak sekali-kali akan dibatalkan. Aku akan menambah bilangan keturunan hamba-Ku Daud, dan bilangan para imam keturunan Lewi, sehingga jumlah mereka tidak dapat dihitung seperti bintang di langit dan pasir di pantai.” TUHAN berfirman kepadaku, “Adakah engkau tahu orang berkata bahawa Aku telah menolak Israel dan Yehuda, dua keluarga yang telah Kupilih itu? Orang menghina umat-Ku dan tidak lagi menganggap mereka sebagai satu bangsa. Tetapi Aku, TUHAN, mempunyai perjanjian dengan siang dan malam, dan Aku telah membuat hukum yang menguasai langit dan bumi. Sebagaimana hal itu tidak dapat dibatalkan, demikian juga perjanjian-Ku dengan keturunan Yakub dan dengan hamba-Ku Daud, tidak dapat dibatalkan. Aku akan memilih seorang daripada keturunan Daud untuk memerintah keturunan Abraham, Ishak, dan Yakub. Aku akan mengasihani umat-Ku dan menjadikan mereka makmur semula.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami