YEREMIA 33:1-13

YEREMIA 33:1-13 BM

Ketika aku masih ditahan di halaman istana, TUHAN menyampaikan perkhabaran lain kepadaku. TUHAN, yang menciptakan bumi dan membentuk serta meletakkannya di tempatnya, berfirman kepadaku. Dia yang bernama TUHAN berfirman, “Berserulah kepada-Ku, maka Aku akan menjawab; Aku akan memberitahu engkau hal-hal yang indah dan mengagumkan, yang belum engkau ketahui. Aku, TUHAN, Allah Israel, berfirman bahawa rumah-rumah di Yerusalem dan istana raja Yehuda akan dirobohkan, akibat kepungan dan serangan musuh. Beberapa orang akan berperang melawan orang Babilonia, yang akan memenuhkan rumah-rumah dengan mayat orang yang Aku pukul sehingga mati ketika Aku murka dan berang. Aku telah meninggalkan kota ini kerana kejahatan penduduknya. Tetapi kelak Aku akan memulihkan keadaan kota ini dan menyembuhkan penduduknya. Aku akan melimpahkan kedamaian dan keamanan kepada mereka. Aku akan menjadikan Yehuda dan Israel makmur, dan membangun mereka semula sehingga menjadi seperti dahulu. Aku akan menyucikan mereka daripada dosa mereka terhadap-Ku; Aku akan mengampunkan dosa dan pemberontakan mereka. Yerusalem akan menjadi kegembiraan, kehormatan, dan kebanggaan-Ku. Semua bangsa di dunia akan takut dan gentar, apabila mendengar tentang segala kebaikan yang Aku lakukan untuk penduduk Yerusalem, dan tentang kemakmuran yang Aku berikan kepada kota itu.” TUHAN berfirman, “Orang berkata bahawa tempat ini seperti gurun, dan tiada orang atau binatang yang tinggal di sini. Kata-kata mereka memang benar, kerana kota-kota Yehuda dan jalan-jalan di Yerusalem lengang semuanya; tiada orang atau binatang yang tinggal di situ. Tetapi di tempat-tempat itu akan terdengar lagi suara kesukaan dan kegembiraan serta keriuhan pesta perkahwinan. Kami akan mendengar orang menyanyi sambil mereka membawa korban kesyukuran ke Rumah-Ku. Mereka akan berkata, ‘Bersyukurlah kepada TUHAN Yang Maha Kuasa, kerana Dia baik dan kasih-Nya kekal abadi.’ Aku akan menjadikan negeri ini makmur seperti dahulu. Aku, TUHAN, telah berfirman.” TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Di negeri yang seperti padang gurun ini, yang tidak didiami oleh manusia ataupun binatang, sekali lagi akan terdapat padang rumput, tempat orang menggembalakan domba mereka. Di kota-kota di kawasan perbukitan, di kaki bukit, di bahagian selatan Yehuda, di wilayah Benyamin, di pekan-pekan di sekitar Yerusalem, dan di kota-kota Yehuda, sekali lagi para gembala akan menghitung domba mereka. Aku, TUHAN, telah berfirman.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami