YEREMIA 32:36-44

YEREMIA 32:36-44 BM

TUHAN, Allah Israel, berfirman kepadaku, “Hai Yeremia, bangsa Israel berkata bahawa peperangan, kebuluran, dan wabak akan menyebabkan kota ini jatuh ke dalam tangan raja Babilonia. Sekarang, dengarlah lagi firman-Ku. Aku akan mengumpulkan bangsa ini dari semua negeri tempat Aku mencerai-beraikan mereka kerana kemurkaan dan kegeraman-Ku terhadap mereka. Aku akan membawa mereka kembali ke tempat ini dan membolehkan mereka tinggal di sini dengan selamat. Mereka akan menjadi umat-Ku, dan Aku menjadi Allah mereka. Aku akan memberi mereka satu tujuan hidup: untuk menghormati Aku sepanjang masa bagi kebaikan mereka sendiri dan keturunan mereka. Aku akan membuat perjanjian yang kekal dengan mereka. Aku tidak akan berhenti berbuat baik untuk mereka. Aku akan menyebabkan mereka takut dan hormat kepada-Ku dengan sepenuh hati supaya mereka tidak meninggalkan Aku. Dengan senang hati Aku akan berbuat baik kepada mereka, dan Aku akan membuat mereka menetap di negeri ini selama-lamanya. Sebagaimana Aku telah mendatangkan bencana kepada bangsa ini, begitu juga Aku akan memberi mereka semua yang baik, yang telah Kujanjikan. Orang berkata bahawa negeri ini akan menjadi seperti padang gurun yang tidak didiami oleh manusia dan binatang, dan negeri ini akan jatuh ke tangan orang Babilonia. Tetapi ladang-ladang di negeri ini akan dibeli orang lagi. Orang akan membeli ladang dan surat pembeliannya ditandatangani dan dimeterai di hadapan saksi-saksi. Hal itu akan berlaku di wilayah Benyamin, di pekan-pekan di sekitar Yerusalem, di kota-kota Yehuda, di kota-kota di kawasan perbukitan, di kawasan kaki bukit, dan di bahagian selatan Yehuda. Aku akan mengembalikan bangsa ini ke negeri mereka. Aku, TUHAN, telah berfirman.”