Pada tahun kesepuluh pemerintahan Raja Zedekia di Yehuda, iaitu tahun kelapan belas pemerintahan Raja Nebukadnezar di Babilonia, TUHAN berfirman kepadaku. Pada masa itu tentara raja Babilonia sedang menyerang Yerusalem. Aku ditahan di halaman istana raja oleh Raja Zedekia kerana aku dituduh mengumumkan bahawa TUHAN berfirman, “Aku akan membiarkan raja Babilonia menaklukkan kota ini, dan Raja Zedekia tidak akan dapat melarikan diri. Dia akan diserahkan kepada raja Babilonia; dia akan menghadap raja itu dan bertutur dengannya. Kemudian Zedekia akan dibawa ke Babilonia dan tinggal di sana sampai Aku menghukum dia. Walaupun dia berperang dengan orang Babilonia, dia tidak akan berjaya. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
TUHAN memberitahu aku bahawa Hanameel, anak lelaki bapa saudaraku Salum, akan datang kepadaku untuk minta supaya aku membeli tanahnya di Anatot, di wilayah Benyamin. Akulah sanaknya yang terdekat dan yang berhak membeli tanah itu. Tepat seperti yang telah difirmankan TUHAN, Hanameel datang kepadaku di halaman istana, dan minta supaya aku membeli tanahnya. Dengan itu yakinlah aku bahawa TUHAN benar-benar telah berfirman kepadaku. Aku membeli tanah itu daripada Hanameel dengan harga tujuh belas keping wang perak. Aku memanggil beberapa orang saksi dan di hadapan mereka, aku menandatangani dan memeteraikan surat pembelian tanah itu, lalu aku menimbang wang pembayarannya. Kemudian aku mengambil surat pembelian itu, yang telah dimeterai dan mengandungi syarat serta ketetapan, dan aku juga mengambil salinan surat yang tidak dimeterai. Aku memberikan kedua-dua helai surat itu kepada Barukh anak Neria, cucu Mahseya. Aku menyerahkannya di hadapan Hanameel serta saksi-saksi yang telah menandatangani surat-surat itu, dan di hadapan semua orang yang sedang duduk di halaman itu. Di hadapan mereka semua, aku berkata kepada Barukh, “TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, memerintahkan engkau mengambil kedua-dua helai surat ini, baik yang dimeterai mahupun yang tidak dimeterai. Masukkan kedua-dua helai surat itu ke dalam sebuah tempayan supaya tahan lama. TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, berfirman bahawa rumah, tanah, dan ladang anggur akan dibeli lagi di negeri ini.”