YEREMIA 28

28
Yeremia dan Nabi Hananya
1 Pada tahun itu juga, pada bulan kelima tahun keempat pemerintahan Raja Zedekia, Hananya anak Azur, seorang nabi dari kota Gibeon, berkata-kata kepadaku di Rumah TUHAN. Dia memberitahu aku di hadapan para imam dan rakyat 2bahawa TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, berfirman, “Aku telah mematahkan kuasa raja Babilonia. 3Dalam masa dua tahun ini Aku akan mengembalikan semua harta benda Rumah-Ku, yang telah diangkut oleh Raja Nebukadnezar ke Babilonia. 4Aku juga akan membawa kembali Yoyakhin putera Raja Yoyakim, raja Yehuda, bersama dengan semua rakyat Yehuda yang telah diangkut ke Babilonia. Sesungguhnya, Aku akan mematahkan kuasa Babilonia. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
5Kemudian di hadapan para imam dan semua orang yang berdiri di Rumah TUHAN, aku berkata kepada Hananya, 6“Syabas! Aku berharap TUHAN akan melakukan hal itu! Mudah-mudahan Dia akan menjadikan ramalanmu itu kenyataan, dan Dia membawa kembali harta benda Rumah TUHAN dari Babilonia bersama dengan semua orang yang telah dibuang ke sana. 7Tetapi dengarlah akan apa yang kukatakan kepadamu dan kepada rakyat. 8Nabi-nabi pada dahulu kala, sebelum zaman kita, telah meramalkan bahawa peperangan, kebuluran, dan wabak akan menimpa banyak bangsa dan kerajaan yang kuat. 9Tetapi nabi yang meramalkan keamanan, hanya dapat diakui sebagai nabi yang sungguh-sungguh diutus oleh TUHAN, apabila ramalannya menjadi kenyataan.”
10Kemudian Hananya mengambil kok dari tengkukku, lalu mematahkannya. 11Di hadapan semua orang di situ, dia berkata, “TUHAN berfirman bahawa beginilah caranya Dia akan mematahkan kok yang dipasang oleh Raja Nebukadnezar pada tengkuk semua bangsa; TUHAN akan melakukan hal itu dalam masa dua tahun.” Selepas itu aku meninggalkan tempat itu.
12Tidak berapa lama selepas peristiwa itu, TUHAN menyuruh aku 13pergi kepada Hananya dan berkata, “TUHAN berfirman bahawa engkau sanggup mematahkan kok kayu, tetapi Dia akan menggantikannya dengan kok besi. 14TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, berfirman bahawa Dia akan memasang kok besi pada tengkuk semua bangsa ini, dan mereka akan mengabdi kepada Raja Nebukadnezar, raja Babilonia. TUHAN juga berfirman bahawa binatang buas pun akan diserahkan-Nya kepada kekuasaan Raja Nebukadnezar.”
15Kemudian aku menyampaikan firman itu kepada Hananya, lalu aku berkata lagi, “Dengarlah, hai Hananya! TUHAN tidak mengutus engkau; engkau menyebabkan bangsa ini mempercayai dusta. 16Oleh itu TUHAN sendiri berfirman bahawa Dia akan melenyapkan engkau. Tahun ini juga engkau akan mati, kerana engkau telah menyuruh bangsa ini melawan TUHAN.”
17Pada tahun itu juga, pada bulan ketujuh, Hananya meninggal.

Terpilih Sekarang Ini:

YEREMIA 28: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk