YEREMIA 23:1-24

YEREMIA 23:1-24 BM

Alangkah dahsyatnya hukuman TUHAN terhadap para penguasa yang membinasakan dan mencerai-beraikan umat-Nya! Inilah yang difirmankan TUHAN, Allah Israel, tentang para penguasa yang seharusnya menjaga umat-Nya, “Kamu tidak menjaga umat-Ku; sebaliknya kamu mencerai-beraikan dan mengusir mereka. Sekarang Aku akan menghukum kamu kerana kejahatan kamu. Aku akan mengumpulkan umat-Ku yang lain dari negeri-negeri tempat Aku mencerai-beraikan mereka. Aku akan membawa mereka kembali ke tanah air mereka. Mereka akan mempunyai banyak keturunan dan mereka akan bertambah banyak. Aku akan melantik penguasa untuk menjaga mereka. Umat-Ku tidak akan takut atau gentar lagi; Aku tidak akan menghukum mereka lagi. Aku, TUHAN, telah berfirman.” TUHAN berfirman, “Masanya akan tiba apabila Aku melantik seorang raja yang adil daripada keturunan Daud. Raja itu akan memerintah dengan bijaksana, dan melakukan apa yang adil dan benar di seluruh negeri. Apabila dia menjadi raja, orang Yehuda akan selamat, dan orang Israel akan hidup dengan damai. Raja itu akan disebut ‘TUHAN Penyelamat Kita’. Masanya akan tiba apabila orang tidak lagi bersumpah demi Aku, Allah yang hidup, yang membawa umat Israel keluar dari Mesir. Tetapi mereka akan bersumpah demi Aku, Allah yang hidup, yang membawa umat Israel keluar dari sebuah negeri di utara, dan dari semua negeri lain tempat Aku mencerai-beraikan mereka. Kemudian mereka akan tinggal di tanah air mereka sendiri.” Hatiku hancur dan aku gementar. TUHAN dan firman-Nya yang suci menjadikan aku seperti orang mabuk, orang yang minum terlalu banyak wain. Negeri penuh dengan orang yang tidak setia kepada TUHAN. Hidup mereka jahat dan mereka menyalahgunakan kuasa. Rumput di padang menjadi kering dan seluruh negeri berkabung, kerana dikutuk oleh TUHAN. TUHAN berfirman, “Nabi dan imam tidak mahu taat kepada-Ku. Aku mendapati mereka berbuat jahat bahkan di Rumah-Ku. Oleh itu, jalan yang dilalui mereka akan licin dan gelap; Aku akan menyebabkan mereka tersandung dan jatuh. Aku akan mendatangkan malapetaka kepada mereka, apabila masanya tiba untuk menghukum mereka. Aku, TUHAN, telah berfirman. Aku telah nampak dosa nabi-nabi Samaria. Mereka berucap demi nama Baal, dan menyesatkan umat-Ku Israel. Tetapi di Yerusalem, Aku nampak nabi-nabi melakukan hal-hal yang lebih jahat lagi. Mereka berdusta dan berzina, serta menyokong orang yang berbuat jahat, sehingga tiada seorang pun mahu bertaubat. Bagi-Ku, mereka semua jahat seperti penduduk Sodom dan Gomora.” Inilah firman TUHAN Yang Maha Kuasa tentang nabi-nabi di Yerusalem, “Aku akan memberi mereka tanaman pahit sebagai makanan dan racun sebagai minuman, kerana mereka menyebabkan orang di seluruh negeri tidak mentaati Aku.” TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman kepada penduduk Yerusalem, “Jangan dengarkan perkataan nabi-nabi yang sentiasa memberikan harapan kosong belaka. Mereka hanya menyampaikan khayalan sendiri dan bukan perkhabaran daripada-Ku. Mereka selalu berkata kepada orang yang tidak mahu mendengarkan firman-Ku, ‘Kamu akan selamat.’ Mereka berkata kepada setiap orang yang degil, ‘Kamu tidak akan ditimpa bencana.’ ” Aku berkata, “Tiada seorang pun daripada nabi-nabi itu mengetahui apa yang terkandung dalam fikiran TUHAN. Tiada seorang pun antara mereka yang pernah mendengar dan memahami rancangan-Nya; tiada juga yang memperhatikan atau mengendahkan firman-Nya. Kemurkaan-Nya bagaikan angin ribut yang mengamuk dan melanda orang jahat. Kemurkaan-Nya tidak akan reda sebelum semua rancangan-Nya dilaksanakan. Pada kemudian hari, umat TUHAN akan memahami hal itu dengan jelas.” TUHAN berfirman, “Aku tidak mengutus nabi-nabi itu, namun mereka pergi juga. Aku tidak memberikan perkhabaran kepada mereka, namun mereka berkata-kata demi nama-Ku. Seandainya mereka tahu apa yang terkandung dalam fikiran-Ku, tentu mereka akan mengisytiharkan perkhabaran-Ku kepada umat-Ku. Dengan demikian umat-Ku akan berhenti melakukan dosa dan perbuatan yang jahat. Aku ini Allah yang hadir di mana-mana, dan bukan Allah yang hadir di satu tempat sahaja. Tiada seorang pun dapat menyembunyikan diri daripada pandangan-Ku, kerana Aku hadir di mana-mana, di syurga dan di bumi.