YEREMIA 2:1-13

YEREMIA 2:1-13 BM

TUHAN menyuruh aku mengisytiharkan perkhabaran ini kepada semua orang di Yerusalem, “Hai Israel, Aku ingat betapa setianya engkau pada masa engkau masih muda, dan betapa besarnya cintamu kepada-Ku ketika engkau menjadi pengantin dahulu. Engkau mengikut Aku melalui gurun, melintasi tanah yang belum ditanami. Hai Israel, engkau milik-Ku sendiri, engkau milik-Ku yang khas. Aku mendatangkan penderitaan dan bencana kepada semua orang yang mencederakan engkau. Aku, TUHAN telah berfirman.” Dengarlah perkhabaran TUHAN, hai keturunan Yakub, suku-suku Israel. TUHAN berfirman, “Apakah tuduhan nenek moyang kamu terhadap Aku? Mengapa mereka berpaling daripada-Ku? Mereka menyembah berhala-berhala yang sia-sia, sehingga mereka sendiri menjadi tidak berguna. Mereka tidak mempedulikan Aku, walaupun Aku menyelamatkan mereka dari Mesir dan memimpin mereka melintasi gurun: tanah tandus dan bukit pasir, tanah kering dan berbahaya, tanah yang tidak didiami dan tidak dilalui orang. Aku membawa mereka ke tanah yang subur untuk menikmati hasilnya dan segala yang baik. Tetapi mereka merosakkan tanah-Ku; mereka menajiskan negeri yang Aku berikan kepada mereka. Para imam tidak bertanya, ‘Di manakah TUHAN?’ Para imam-Ku pun tidak tahu siapa Aku. Para penguasa memberontak terhadap Aku; para nabi berucap demi nama Baal dan menyembah berhala yang sia-sia.” TUHAN berfirman, “Oleh itu Aku akan membentangkan perkara-Ku lagi terhadap umat-Ku. Aku akan mengemukakan tuduhan terhadap keturunan mereka. Pergilah ke pulau Siprus di sebelah barat, suruhlah orang pergi ke timur, ke tanah Kedar. Engkau akan melihat bahawa hal seperti ini tidak pernah berlaku. Tiada bangsa mana pun yang pernah menggantikan tuhannya, walaupun tuhan-tuhan itu bukan Allah sebenarnya. Tetapi umat-Ku telah menggantikan Aku, Allah yang telah memberikan mereka kedudukan yang mulia, dengan sesuatu yang tidak dapat melakukan apa-apa. Oleh itu Aku memerintahkan langit bergoncang kerana ngeri, hairan dan terperanjat, kerana umat-Ku telah melakukan dua dosa: mereka meninggalkan Aku, sumber air pemberi hidup kepada manusia, dan mereka menggali kolam yang bocor dan tidak dapat menampung air.”