YEREMIA 18

18
Yeremia di Rumah Tukang Periuk
1TUHAN berfirman kepadaku, 2“Pergilah ke rumah tukang periuk; Aku akan menyampaikan perkhabaran-Ku kepadamu di sana.” 3Oleh itu aku pergi ke rumah tukang periuk dan aku nampak dia sedang bekerja. 4Apabila periuk yang sedang dibuatnya itu kurang sempurna, dia membentuknya semula sehingga menjadi periuk lain yang sesuai dengan kehendaknya.
5Kemudian TUHAN menyuruh aku berkata kepada umat Israel, 6“Hai umat Israel, tidakkah Aku berhak memperlakukan kamu seperti yang dilakukan tukang periuk itu dengan tanah liatnya? Sebagaimana tanah liat itu dalam tangan tukang periuk, demikian juga kamu dalam tangan-Ku. 7Jika pada suatu waktu Aku mengambil keputusan untuk mencabut, meruntuhkan, atau menghancurkan suatu bangsa atau kerajaan, 8tetapi kemudian bangsa itu bertaubat daripada kejahatan, maka Aku akan membatalkan niat-Ku itu. 9Sebaliknya, jika Aku mengambil keputusan untuk mendirikan atau menguatkan suatu bangsa atau kerajaan, 10tetapi kemudian bangsa itu tidak taat kepada-Ku lalu melakukan kejahatan, maka Aku akan membatalkan niat-Ku itu. 11Sekarang, beritahulah orang Yehuda dan penduduk Yerusalem bahawa Aku sedang merancang untuk melawan mereka, dan menyediakan hukuman untuk mereka. Suruhlah mereka menghentikan cara hidup yang berdosa, serta mengubah kelakuan dan perbuatan mereka. 12Tetapi mereka akan menjawab, ‘Apa gunanya? Kami akan tetap degil dan jahat mengikut kemahuan kami!’ ”
Umat Israel Meninggalkan TUHAN
13TUHAN berfirman,
“Tanyakanlah kepada setiap bangsa
sama ada hal seperti ini pernah berlaku.
Umat Israel telah melakukan sesuatu yang dahsyat!
14Salji tidak pernah lenyap dari gunung batu di Lebanon.
Air sejuk yang mengalir di pergunungan tidak pernah kering.
15Tetapi umat-Ku telah melupakan Aku;
mereka membakar kemenyan untuk berhala.
Mereka tersandung di jalan yang harus dilalui mereka,
mereka tidak lagi mengikut jalan dahulu kala;
mereka menyimpang ke jalan yang belum diratakan.
16Mereka menjadikan negeri ini tempat yang mengerikan,
sehingga menjadi bahan ejekan selama-lamanya.
Semua orang yang melalui negeri ini akan terkejut melihatnya,
mereka akan merasa ngeri dan menggelengkan kepala.
17Aku akan mencerai-beraikan umat-Ku di hadapan musuh,
sebagaimana angin timur meniup debu.
Aku akan membelakangi mereka;
Aku tidak akan menolong mereka apabila bencana tiba.”
Pakatan Melawan Yeremia
18Kemudian orang berkata, “Marilah kita berpakat melawan Yeremia. Imam yang dapat memberikan ajaran, orang bijaksana yang dapat memberikan nasihat, dan nabi yang dapat menyampaikan perkhabaran Allah akan selalu ada. Marilah kita mengemukakan tuduhan terhadap Yeremia, dan berhenti mendengarkan kata-katanya!”
19Oleh itu aku berdoa, “Ya TUHAN, dengarlah doaku; perhatikanlah apa yang dikatakan musuhku tentang aku. 20Wajarkah kebaikan dibalas dengan kejahatan? Tetapi mereka telah menggali lubang supaya aku jatuh ke dalamnya. Ingatlah bahawa aku telah membela mereka di hadapan-Mu, supaya Engkau tidak murka kepada mereka. 21Tetapi sekarang, ya TUHAN, biarlah anak-anak mereka mati kelaparan atau terbunuh dalam peperangan. Biarlah kaum wanita mereka kehilangan suami dan anak; biarlah kaum lelaki mati kerana wabak penyakit dan orang muda terbunuh dalam pertempuran. 22Biarlah perampas datang ke rumah mereka dengan tiba-tiba, sehingga mereka menjerit ketakutan. Mereka telah menggali lubang supaya aku jatuh ke dalamnya, dan mereka telah memasang perangkap untuk menangkap aku. 23Tetapi Engkau, ya TUHAN, mengetahui semua yang dirancang oleh mereka untuk membunuh aku; janganlah hapuskan kesalahan mereka, dan janganlah ampunkan dosa mereka. Biarlah mereka kalah. Bertindaklah terhadap mereka semasa Engkau murka.”

Terpilih Sekarang Ini:

YEREMIA 18: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk