YEREMIA 16

16
Kehendak TUHAN untuk Yeremia
1TUHAN berfirman lagi kepadaku, 2“Jangan berkahwin atau mempunyai anak di tempat ini. 3Aku akan memberitahu engkau tentang hal yang akan berlaku terhadap anak-anak yang dilahirkan di sini dan terhadap ibu bapa mereka. 4Mereka akan mati kerana diserang penyakit yang membawa maut. Tiada seorang pun akan meratapi atau menguburkan mereka. Mayat mereka akan berselerak seperti baja di tanah. Mereka akan terbunuh dalam peperangan atau mati kelaparan. Mayat mereka akan dimakan burung dan binatang buas.
5Jangan masuk ke rumah orang yang sedang berkabung. Jangan ratapi sesiapa pun. Aku tidak lagi memberkati umat-Ku dengan kesejahteraan, dan Aku tidak akan menunjukkan kasih sayang atau belas kasihan kepada mereka. 6Orang kaya dan orang miskin di negeri ini akan mati, tetapi tiada sesiapa pun akan meratapi atau menguburkan mereka. Tiada seorang pun akan melukakan tubuh atau mencukur rambut kepala sebagai tanda berkabung untuk mereka. 7Apabila ada orang yang meninggal, tiada sesiapa pun akan makan atau minum dengan keluarga orang itu untuk menghiburkan mereka. Apabila ada orang yang kehilangan ibu atau bapa, tiada sesiapa yang akan turut berdukacita dengan mereka.
8Jangan masuk ke rumah orang yang sedang berpesta. Jangan duduk dan makan minum bersama-sama mereka. 9#Yer 7.34, 25.10; Why 18.23 Dengarlah firman daripada Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel. Suara keriangan dan kesukaan serta keramaian pesta perkahwinan akan Kuhentikan. Perkara itu akan disaksikan oleh orang yang hidup pada zamanmu ini.
10Apabila engkau menyampaikan semua hal ini kepada mereka, mereka akan bertanya sebabnya Aku mengambil keputusan untuk menghukum mereka dengan begitu keras. Mereka akan bertanya tentang kesalahan dan dosa mereka terhadap Aku, TUHAN Allah mereka. 11Beritahulah mereka bahawa demikianlah firman TUHAN, ‘Nenek moyang kamu berpaling daripada-Ku lalu menyembah dan mengabdi kepada tuhan-tuhan lain. Mereka meninggalkan Aku dan tidak mahu taat kepada peraturan-Ku. 12Tetapi perbuatan kamu lebih jahat daripada perbuatan nenek moyang kamu. Kamu semua degil dan jahat. Kamu tidak mahu taat kepada-Ku. 13Oleh itu, Aku akan mengusir kamu dari negeri ini dan membuang kamu ke sebuah negeri yang asing sekali bagi kamu dan bagi nenek moyang kamu. Di sana kamu akan mengabdi kepada tuhan-tuhan lain pada siang dan malam, dan Aku tidak akan mengasihani kamu.’ ”
Umat TUHAN Akan Kembali dari Pembuangan
14TUHAN berfirman, “Akan tiba masanya apabila orang tidak lagi bersumpah demi Aku, Allah yang hidup, yang membawa umat Israel keluar dari Mesir. 15Tetapi mereka akan bersumpah demi Aku, Allah yang hidup, yang membawa umat Israel keluar dari sebuah negeri di utara dan dari semua negeri lain, tempat Aku mencerai-beraikan mereka. Aku akan membawa mereka kembali ke tanah air mereka, negeri yang telah Kuberikan kepada nenek moyang mereka. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
Hukuman yang Akan Datang
16TUHAN berfirman, “Aku akan memanggil banyak nelayan untuk menangkap bangsa ini. Kemudian Aku akan memanggil banyak pemburu untuk memburu mereka di setiap gunung dan bukit, serta di gua-gua bukit batu. 17Aku nampak segala sesuatu yang dilakukan mereka. Tiada sesuatu pun yang tersembunyi daripada-Ku; Aku nampak dosa-dosa mereka. 18Aku akan membalas dosa dan kejahatan mereka dengan hukuman dua kali ganda, kerana mereka telah menajiskan negeri-Ku dengan banyak berhala. Berhala-berhala itu tidak bernyawa seperti mayat. Mereka telah memenuhi negeri-Ku dengan tuhan-tuhan palsu.”
Yeremia Menyatakan Kepercayaannya kepada TUHAN
19Ya TUHAN, Engkaulah yang melindungi aku dan memberikan kekuatan kepadaku; Engkau menolong aku pada masa kesusahan. Bangsa-bangsa dari hujung bumi akan datang kepada-Mu dan berkata, “Nenek moyang kami hanya mempunyai tuhan palsu yang sama sekali tidak berguna. 20Dapatkah manusia membuat tuhannya sendiri? Tentu sekali tidak! Apa yang dibuatnya itu pasti bukan Allah yang sebenarnya.”
21TUHAN berfirman, “Oleh itu, kali ini Aku akan mengajar bangsa-bangsa supaya mereka mengetahui kekuasaan dan kekuatan-Ku; maka mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN.”

Terpilih Sekarang Ini:

YEREMIA 16: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk