HAKIM-HAKIM 12
12
Yefta dan Suku Efraim
1Pada masa itu, suku Efraim bersedia untuk berperang. Mereka menyeberangi Sungai Yordan dan menuju ke Zafon. Mereka berkata kepada Yefta, “Mengapa kamu berperang dengan orang Amon tanpa mengajak kami? Sekarang kami akan membakar kamu bersama-sama seisi rumahmu!”
2Yefta berkata, “Aku dan rakyatku bersengketa dengan orang Amon. Aku memanggil kamu, tetapi kamu tidak datang untuk membantu aku membebaskan diri daripada orang Amon. 3Apabila aku melihat bahawa kamu tidak mahu menolong, aku mempertaruhkan nyawaku. Aku pergi menyerang mereka, lalu TUHAN memberi aku kemenangan atas mereka. Mengapakah sekarang kamu hendak menyerang aku?” 4Kemudian Yefta mengumpulkan semua orang Gilead, lalu memerangi suku Efraim dan mengalahkan mereka. (Suku Efraim mengatakan bahawa orang Gilead yang tinggal di wilayah Efraim dan Manasye telah memisahkan diri daripada Efraim, suku mereka.) 5Orang Gilead merebut tempat-tempat penyeberangan Sungai Yordan, supaya suku Efraim tidak dapat menyeberanginya. Apabila seorang Efraim cuba melarikan diri dengan menyeberangi sungai itu, orang Gilead bertanya kepadanya, “Adakah engkau orang Efraim?” Jika dia menjawab, “Bukan,” 6mereka menyuruh dia mengucapkan kata, “Syibolet.” Tetapi orang itu akan berkata, “Sibolet” kerana dia tidak dapat mengucapkannya dengan tepat. Kemudian mereka akan menangkap dan membunuh dia di tempat penyeberangan sungai itu. Ketika itu, sebanyak 42,000 orang Efraim terbunuh.
7Yefta memimpin Israel selama enam tahun. Kemudian dia meninggal dan dikebumikan di kampung halamannya di Gilead.
Ebzan, Elon, dan Abdon
8Selepas Yefta, umat Israel dipimpin oleh Ebzan. Dia berasal dari Betlehem. 9Dia mempunyai tiga puluh orang anak lelaki dan tiga puluh orang anak perempuan. Dia mengahwinkan anak-anak perempuannya dengan lelaki daripada puak lain, dan mengambil pula tiga puluh orang perempuan daripada puak lain untuk dikahwinkan dengan anak-anak lelakinya. Ebzan memimpin Israel selama tujuh tahun, 10lalu dia meninggal dan dikebumikan di Betlehem.
11Selepas Ebzan, umat Israel dipimpin oleh Elon daripada suku Zebulon selama sepuluh tahun. 12Kemudian dia meninggal dan dikebumikan di Ayalon di wilayah Zebulon.
13Selepas Elon, umat Israel dipimpin oleh Abdon anak Hilel yang berasal dari Piraton. 14Dia mempunyai empat puluh orang anak lelaki dan tiga puluh orang cucu lelaki. Mereka mempunyai tujuh puluh ekor keldai tunggangan. Abdon memimpin Israel selama lapan tahun. 15Kemudian dia meninggal dan dikebumikan di Piraton di wilayah Efraim, di kawasan perbukitan Amalek.
Terpilih Sekarang Ini:
HAKIM-HAKIM 12: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.