YESAYA 37
37
Raja Meminta Nasihat kepada Nabi Yesaya
(2 Raj 19.1-7)
1Apabila mendengar laporan mereka, Raja Hizkia mengoyakkan pakaiannya kerana sedih. Baginda memakai kain guni lalu pergi ke Rumah TUHAN. 2Baginda menyuruh Elyakim, pengurus istana, dan Sebna, setiausaha istana, serta imam-imam yang tua untuk menjumpai Nabi Yesaya anak Amos. Mereka juga memakai kain guni. 3Raja Hizkia menyuruh mereka menyampaikan berita ini kepada Yesaya: “Hari ini hari penderitaan. Kita dihukum dan dipermalukan. Kita seperti perempuan yang hampir bersalin tetapi kehabisan tenaga. 4Raja Asyur telah mengutus pegawai tertingginya untuk menghina Allah yang hidup. Semoga TUHAN, Allahmu mendengar hinaan itu dan menghukum mereka yang mengucapkannya. Oleh itu berdoalah kepada Allah untuk rakyat kita yang masih hidup.”
5Apabila Yesaya menerima berita daripada Raja Hizkia, 6dia memberikan jawapan ini: “TUHAN berfirman bahawa tuanku tidak usah takut terhadap orang Asyur yang mengatakan TUHAN tidak dapat menyelamatkan tuanku. 7TUHAN akan menyebabkan raja Asyur mendengar suatu khabar angin sehingga baginda pulang ke negerinya sendiri. TUHAN akan membiarkan raja Asyur dibunuh di sana.”
Orang Asyur Mengancam Lagi
(2 Raj 19.8-19)
8Pegawai Asyur mendengar bahawa rajanya telah meninggalkan Lakhis dan sedang berperang dengan Libna, sebuah kota yang berdekatan. Oleh itu dia pergi ke sana hendak meminta nasihat. 9Pada masa itu raja Asyur mendengar berita bahawa tentera Mesir yang dipimpin oleh Raja Tirhaka, raja Etiopia, datang untuk menyerang mereka. Apabila mendengar berita itu, raja Asyur mengirim sepucuk surat kepada Raja Hizkia, 10di Yehuda. Demikian bunyi surat itu, “Allah yang kamu percayai telah berjanji bahawa kamu tidak akan jatuh ke dalam tangan beta, tetapi jangan ditipu oleh janji itu. 11Kamu telah mendengar apa yang dilakukan oleh raja-raja Asyur terhadap setiap negeri yang hendak dimusnahkan mereka. Jangan sangka kamu akan terlepas. 12Nenek moyang beta memusnahkan kota Gozan, Haran, dan Rezef, serta membunuh orang Eden yang tinggal di Telasar. Tidak satu pun daripada dewa mereka dapat menyelamatkan mereka. 13Di manakah raja-raja kota Hamat, Arpad, Sefarwaim, Hena, dan Iwa sekarang?”
14Raja Hizkia mengambil surat itu daripada para utusan, lalu membacanya. Kemudian baginda pergi ke Rumah TUHAN, membentangkan surat itu di hadirat TUHAN 15dan berdoa, 16 “Ya TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, Engkau yang bersemayam di atas kerub, Engkau satu-satunya Allah yang memerintah semua kerajaan di dunia. Engkau mencipta langit dan bumi. 17Sekarang lihatlah hal yang berlaku kepada kami. Dengarlah segala hinaan yang diucapkan oleh Raja Sanherib terhadap-Mu, ya Allah yang hidup. 18Kami semua tahu, ya TUHAN, bahawa raja-raja Asyur telah memusnahkan banyak bangsa dan menghancurkan negeri mereka, 19serta membakar dewa-dewa mereka. Tetapi dewa-dewa itu tidak berkuasa sama sekali kerana hanya patung daripada kayu dan batu yang dibuat oleh manusia. 20Oleh itu, selamatkanlah kami daripada orang Asyur, ya TUHAN Allah kami, supaya semua bangsa di dunia tahu bahawa Engkau satu-satunya TUHAN.”
Perkhabaran Yesaya kepada Raja
(2 Raj 19.20-37)
21Kemudian Yesaya mengirim perkhabaran kepada Raja Hizkia bahawa TUHAN, Allah Israel telah mendengar doanya. 22Demikianlah firman TUHAN, “Kota Yerusalem mentertawakan serta menghinakan engkau, hai Sanherib. 23Siapakah yang engkau cela dan hina itu? Engkau telah bersikap sombong terhadap Aku, Allah Israel, Allah yang suci. 24Engkau mengirim para utusan untuk membesar-besarkan dirimu di hadapan-Ku, bahawa dengan kereta kudamu engkau telah menaklukkan gunung-gunung tertinggi di Lebanon. Engkau bercakap besar bahawa engkau telah menebang pokok sedar yang tertinggi, dan pokok sipres yang terbaik, dan bahawa engkau telah menembusi hutan Lebanon yang paling lebat. 25Engkau bercakap besar bahawa engkau menggali perigi dan minum air di negeri-negeri asing, dan bahawa tenteramu memijak-mijak Sungai Nil sehingga kering.
26Belum pernahkah engkau mendengar bahawa Akulah yang merancangkan semua itu sejak dahulu? Sekarang Aku sudah melaksanakannya. Akulah yang memberi engkau kuasa untuk memusnahkan kota-kota berkubu sehingga menjadi puing-puing. 27Penduduk di situ tidak berdaya; mereka ketakutan dan bingung. Mereka seperti rumput di padang, atau rumpai yang tumbuh di atas bumbung rumah, yang layu apabila ditiup oleh angin timur yang panas.
28Tetapi Aku tahu akan segala halmu: segala perbuatanmu dan ke mana sahaja engkau pergi. Aku tahu bahawa engkau marah sekali terhadap Aku. 29Aku telah mendengar tentang kemarahan dan kesombonganmu. Sekarang Aku akan memasang kait pada hidungmu, dan kekang pada mulutmu. Aku akan menarik engkau pulang melalui jalan yang engkau ikuti ketika datang.”
30Kemudian Yesaya mengirim perkhabaran kepada Raja Hizkia, “Perkara ini akan menjadi suatu tanda bagi tuanku: Pada tahun ini dan tahun yang akan datang, tuanku akan makan gandum yang tumbuh sendiri. Tetapi pada tahun berikutnya, tanamlah gandum dan anggur, dan nikmatilah hasilnya. 31Penduduk Yehuda yang terselamat akan makmur seperti tumbuhan yang berakar umbi dan berbuah. 32Baik di Yerusalem mahupun di Bukit Sion akan ada orang yang terselamat kerana TUHAN Yang Maha Kuasa telah menentukan bahawa perkara ini akan berlaku.
33Inilah firman TUHAN tentang raja Asyur, ‘Dia tidak akan masuk ke Yerusalem, ataupun melepaskan sebatang anak panah pun ke arahnya. Askar-askar yang berperisai tidak akan mendekati kota ini. Mereka tidak akan membuat timbunan tanah untuk mengepungnya. 34Raja Asyur akan pulang melalui jalan yang diikutinya ketika datang, tanpa memasuki kota ini. Aku, TUHAN telah berfirman. 35Demi kehormatan-Ku sendiri dan demi janji-Ku kepada hamba-Ku, Daud, Aku akan membela kota ini serta melindunginya.’ ”
36Kemudian satu malaikat TUHAN pergi ke perkhemahan orang Asyur dan membunuh 185,000 orang askar. Pagi-pagi keesokan harinya mereka semua telah mati! 37Kemudian Raja Sanherib, raja Asyur berundur dan pulang ke Niniwe. 38Pada suatu hari, ketika raja Asyur sedang beribadat di dalam kuil dewanya, Nisrokh, baginda dibunuh dengan pedang oleh dua orang puteranya, Adramelekh dan Sarezer. Selepas itu, mereka lari ke tanah Ararat. Esarhadon, puteranya yang lain menggantikan baginda sebagai raja.
Terpilih Sekarang Ini:
YESAYA 37: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.