YESAYA 23
23
Perkhabaran tentang Tirus dan Sidon
1Inilah perkhabaran TUHAN tentang Tirus.
Merataplah, hai pelaut-pelaut Sepanyol di laut! Kota kamu di Tirus sudah dimusnahkan. Rumah dan pelabuhan kamu sudah menjadi reruntuhan. Kamu mendengarnya ketika kamu bertolak dari Siprus. 2Menangislah, hai saudagar-saudagar dari Sidon! Kamu yang menyuruh orang 3ke seberang laut untuk berjual-beli gandum dari Mesir dan untuk berdagang dengan semua bangsa.
4Kota Sidon telah dipermalukan! Laut serta samudera raya enggan mengakui engkau, dan berkata, “Aku tidak mempunyai anak. Aku tidak pernah membesarkan anak lelaki atau anak perempuan.”
5Bahkan orang Mesir pun akan terperanjat dan tawar hati apabila mendengar bahawa Tirus sudah dimusnahkan.
6Merataplah dan larilah ke Sepanyol, hai penduduk kawasan pantai! 7Inikah kota Tirus yang sentiasa bersukacita, yang dibina sejak zaman dahulu kala? Inikah kota yang mengutus orang ke seberang laut untuk merantau dan menetap di sana? 8Siapakah yang merancangkan segala hal ini bagi Tirus, kota yang besar itu? Bukankah saudagar-saudagarnya kaum bangsawan yang paling dihormati di bumi? 9TUHAN Yang Maha Kuasa telah merancangkannya, supaya Dia dapat mengakhiri kesombongan mereka yang sentiasa membangga-banggakan perbuatan mereka, serta menghina orang yang terhormat.
10Pergilah bercucuk tanam, hai penduduk Sepanyol! Tiada sesiapa pun yang akan melindungi kamu lagi. 11TUHAN telah merentangkan tangan-Nya ke atas lautan dan menggulingkan kerajaan-kerajaan. Dia telah memerintah supaya pusat-pusat perdagangan di Funisia dimusnahkan. 12Hai kota Sidon, kegembiraanmu sudah berakhir. Sekarang rakyatmu ditindas. Walaupun mereka lari ke negeri Siprus, mereka masih tidak selamat.
( 13Bukan orang Asyur, melainkan orang Babilonia yang membiarkan binatang-binatang liar berkeliaran di Tirus. Orang Babilonia yang membina menara-menara untuk mengepung musuh; merekalah yang merobohkan kubu-kubu di Tirus, serta menjadikan kota itu reruntuhan.)
14Merataplah, hai pelaut-pelaut yang belayar di laut! Kota yang kamu harapkan itu sudah musnah.
15Masanya akan tiba apabila Tirus dilupakan selama tujuh puluh tahun, iaitu sepanjang usia seorang raja. Selepas itu, Tirus akan menjadi seperti seorang pelacur yang digambarkan oleh lagu berikut:
16Bawalah kecapimu, kelilingilah kota,
hai pelacur yang telah dilupakan orang!
Petiklah kecapimu, bernyanyilah semula,
supaya orang ingat akan kamu lagi!
17Selepas tujuh puluh tahun itu, TUHAN akan membenarkan Tirus meneruskan perdagangannya dengan kerajaan-kerajaan di bumi ini semula. 18 Segala hasil perdagangan itu akan ditahbiskan untuk TUHAN. Wang daripada perdagangan itu tidak akan disimpan tetapi digunakan untuk membeli makanan dan pakaian yang diperlukan oleh orang yang menyembah TUHAN.
Terpilih Sekarang Ini:
YESAYA 23: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.