IBRANI 7

7
Imam Melkisedek
1Imam Melkisedek ialah raja Salem dan imam Allah Yang Maha Tinggi. Ketika Abraham balik dari peperangan mengalahkan empat orang raja, Melkisedek menjumpainya dan memberkatinya. 2 Lalu Abraham memberi Melkisedek sepersepuluh daripada segala apa yang dirampasnya. (Pertama sekali nama Melkisedek bermakna “Raja Keadilan.” Oleh sebab dia raja Salem, namanya juga bermakna “Raja Kesejahteraan.”) 3Tidak ada catatan tentang ibu bapa Melkisedek ataupun nenek moyangnya. Tidak ada catatan tentang kelahirannya ataupun kematiannya. Dia seperti Anak Allah; dia menjadi imam selama-lamanya.
4Lihatlah betapa tingginya kedudukan Melkisedek. Abraham, bapa bangsa kita, memberi dia sepersepuluh daripada segala yang didapatinya daripada peperangan itu. 5 Menurut hukum Taurat, imam-imam keturunan suku Lewi harus memungut sepersepuluh daripada pendapatan umat Israel, iaitu saudara-saudara mereka sendiri, walaupun mereka juga keturunan Abraham. 6Melkisedek bukan keturunan suku Lewi, tetapi dia menerima sepersepuluh daripada apa yang sudah diterima oleh Abraham, dan memberkati yang telah menerima janji Allah. 7Tidak dapat diragukan lagi bahawa orang yang diberkati lebih rendah kedudukannya daripada orang yang memberkati. 8Imam-imam yang memungut sepersepuluh bahagian itu manusia biasa yang tentu akan mati. Tetapi menurut Alkitab, Melkisedek yang menerima sepersepuluh bahagian itu tetap hidup. 9Boleh dikatakan bahawa ketika Abraham membayar sepersepuluh bahagian itu, Lewi juga membayarnya (walaupun keturunannya memungut sepersepuluh bahagian daripada umat Israel.) 10Pada masa Melkisedek berjumpa dengan Abraham, Lewi belum lahir tetapi boleh dikatakan sudah ada di dalam tubuh Abraham nenek moyangnya.
11Imam-imam keturunan Lewi merupakan asas hukum Taurat, yang diberikan kepada umat Israel. Jika apa yang dilakukan imam-imam suku Lewi dahulu itu sempurna, maka tidak perlu ada imam lain seperti Imam Melkisedek, yang bukan keturunan Imam Harun. 12Apabila ada perubahan dalam keimaman, hukum Taurat pun mesti berubah. 13Yang dimaksudkan di sini adalah Tuhan kita. Dia daripada suku lain, dan belum pernah seorang pun daripada suku-Nya bertugas sebagai imam. 14Semua orang tahu bahawa Tuhan kita berasal daripada suku Yehuda; dan Musa tidak pernah menyebut suku itu ketika dia berucap tentang imam-imam.
Seorang Imam Lain seperti Melkisedek
15Hal yang dibincangkan itu menjadi lebih jelas sekarang: Seorang imam lain sudah datang, imam seperti Melkisedek. 16Dia dilantik menjadi imam, tidak menurut hukum atau peraturan manusia, tetapi berdasarkan hidupnya yang berkuasa dan tidak berkesudahan. 17 Di dalam Alkitab tertulis, “Engkau akan menjadi imam selama-lamanya, seperti Imam Melkisedek.” 18Oleh itu peraturan yang lama telah dibatalkan, kerana lemah dan tidak berguna. 19Taurat Musa tidak dapat menyempurnakan sesuatu pun. Sekarang kita diberikan suatu harapan yang lebih baik, dan dengannya kita dapat mendekati Allah.
20Tambahan pula, semua itu disertai sumpah daripada Allah. Apabila imam-imam lain dilantik, tidak ada sumpah seperti itu. 21 Tetapi Yesus diangkat menjadi imam dengan sumpah, ketika Allah berfirman kepada-Nya,
“Tuhan sudah bersumpah,
dan tidak akan mengubah fikiran,
‘Engkau akan menjadi imam selama-lamanya.’ ”
22Dengan sumpah itu, Yesus menjadi jaminan suatu perjanjian yang lebih baik.
23Ada satu hal lagi: imam-imam lain itu banyak bilangannya kerana mereka mati dan tidak dapat meneruskan tugas. 24Tetapi Yesus hidup selama-lamanya dan tugas-Nya sebagai imam tidak beralih kepada orang lain. 25Oleh itu, baik sekarang ataupun selamanya, Dia dapat menyelamatkan orang yang datang kepada Allah melalui-Nya, kerana Dia hidup selama-lamanya untuk memohon kepada Allah bagi mereka.
26Dengan demikian, Yesuslah Imam Agung yang kita perlukan. Dia suci; pada-Nya tidak terdapat kesalahan ataupun dosa. Dia dipisahkan daripada orang berdosa, dan dinaikkan ke tempat yang lebih tinggi daripada langit. 27 Dia tidak seperti imam-imam agung lain, yang setiap hari harus mempersembahkan korban, pertama sekali untuk dosa sendiri dan kemudian untuk dosa umat. Yesus mempersembahkan korban sekali sahaja untuk selama-lamanya, ketika Dia mempersembahkan diri-Nya sendiri sebagai korban. 28Taurat Musa melantik manusia yang tidak sempurna menjadi imam agung. Tetapi janji Allah yang disertai sumpah dan yang datang kemudian daripada Taurat telah menjadikan Anak, Penyelamat yang sempurna selama-lamanya.

Terpilih Sekarang Ini:

IBRANI 7: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk