IBRANI 4:9-16

IBRANI 4:9-16 BM

Oleh itu masih ada lagi rehat bagi umat Allah, seperti Allah berehat pada hari yang ketujuh itu. Hal itu demikian kerana sesiapa mendapat rehat yang dijanjikan oleh Allah, akan berehat juga daripada kerjanya sebagaimana Allah berehat daripada kerja-Nya. Oleh itu, marilah kita berusaha sebaik-baiknya untuk mendapat rehat yang dijanjikan oleh Allah. Janganlah seorang pun daripada kita gagal seperti mereka dahulu, kerana tidak percaya kepada Allah. Firman Allah itu hidup dan berkuasa, lebih tajam daripada pedang bermata dua. Firman itu menusuk sampai ke batas antara jiwa dan roh, sampai ke batas antara sendi-sendi dan tulang sumsum. Firman Allah menghakimi fikiran dan niat hati manusia. Tiada sesuatu pun dapat disembunyikan daripada Allah. Segala sesuatu di alam semesta terbuka dan terdedah di sisi Allah. Kita semua harus memberikan pertanggungjawapan tentang hidup kita kepada Allah. Oleh itu, hendaklah kita berpegang teguh kepada pengakuan iman kita, kerana kita mempunyai Imam Agung yang besar, yang sudah masuk ke hadirat Allah. Dia Yesus, Anak Allah. Imam Agung kita ini bukanlah imam yang tidak dapat bersimpati terhadap segala kelemahan kita. Sebaliknya, kita mempunyai Imam Agung yang pernah dicubai dalam segala hal seperti kita sendiri, tetapi Dia tidak berbuat dosa! Oleh itu, marilah kita dengan penuh keberanian menghadap takhta Allah, kerana di situ rahmat-Nya melimpah. Di situ kita akan menerima belas kasihan-Nya dan mengalami kasih-Nya, pada masa kita memerlukan pertolongan.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan IBRANI 4:9-16