Kerana beriman, Abraham mempersembahkan anaknya, Ishak, sebagai korban, ketika Allah menguji Abraham. Allah memberikan janji-Nya kepada Abraham, namun Abraham bersedia mempersembahkan anaknya yang tunggal sebagai korban. Allah sudah berfirman kepadanya, “Melalui Ishak engkau akan beroleh keturunan yang Aku janjikan.” Abraham yakin bahawa Allah berkuasa membangkitkan Ishak daripada kematian. Oleh itu boleh dikatakan, Abraham sudah menerima Ishak kembali daripada kematian.
Kerana beriman, Ishak menjanjikan berkat untuk masa depan bagi Yakub dan Esau.
Kerana beriman, Yakub memberkati setiap anak Yusuf sebelum Yakub meninggal. Yakub bersandar pada kepala tongkatnya dan menyembah Allah.
Kerana beriman, Yusuf ketika hampir meninggal berkata tentang keluarnya orang Israel dari Mesir. Dia juga berpesan tentang apa yang harus dilakukan dengan jenazahnya.
Kerana beriman, ibu bapa Musa menyembunyikan dia selama tiga bulan setelah dia lahir. Mereka melihat bahawa Musa bayi yang comel, dan mereka tidak takut menentang titah raja.
Kerana beriman, Musa sesudah menjadi dewasa, tidak mahu disebut anak puteri raja Mesir. Musa lebih suka menderita bersama-sama umat Allah daripada menikmati kesenangan hidup berdosa untuk sementara waktu. Musa berpendapat bahawa jauh lebih berharga menanggung hinaan bagi Penyelamat yang diutus oleh Allah daripada mendapat segala harta negeri Mesir, kerana Musa mengharapkan pahala pada masa yang akan datang.
Kerana beriman, Musa meninggalkan Mesir tanpa berasa takut akan kemurkaan raja. Musa tidak mahu berpatah balik, kerana seolah-olah dia sudah nampak Allah yang tidak kelihatan itu. Kerana beriman, Musa memulakan Paska dan memberikan perintah supaya darah dipercikkan pada pintu, agar Malaikat Maut tidak membunuh anak laki-laki sulung orang Israel.
Kerana beriman, orang Israel dapat menyeberang Laut Merah, seolah-olah mereka berjalan di atas tanah yang kering. Ketika orang Mesir cuba menyeberang, mereka mati lemas di dalam laut itu.
Kerana beriman, orang Israel menyebabkan tembok-tembok Yerikho roboh setelah mereka mengelilinginya selama tujuh hari. Kerana beriman, Rahab, wanita pelacur itu, tidak turut terbunuh bersama-sama orang yang melawan Allah, kerana dia menyambut pengintip-pengintip Israel dengan ramah.
Perlukah aku meneruskannya? Masa tidak cukup bagiku untuk bertutur tentang Gideon, Barak, Simson, Yefta, Daud, Samuel, dan nabi-nabi. Kerana beriman, mereka mengalahkan negeri-negeri. Mereka melakukan apa yang benar. Oleh itu mereka menerima apa yang dijanjikan oleh Allah. Mereka menutup mulut singa, memadamkan api yang dahsyat, dan menyelamatkan diri daripada tikaman pedang. Mereka lemah, tetapi menjadi kuat; mereka perkasa dalam peperangan dan mengalahkan pasukan-pasukan bangsa asing. Kerana beriman, kaum wanita mendapat kembali sanak keluarga yang sudah dibangkitkan daripada kematian.
Ada pula yang rela diseksa sampai mati, dan menolak untuk dibebaskan, kerana ingin dihidupkan kembali bagi kehidupan yang lebih baik. Ada yang diolok-olok dan dicambuk. Ada juga yang dirantai dan dipenjarakan. Ada yang direjam sehingga mati, ada yang dipotong menjadi dua dengan gergaji, dan ada pula yang dibunuh dengan pedang. Mereka mengembara dengan berpakaian kulit domba atau kambing. Mereka miskin, dianiaya, dan diseksa. Dunia ini bukan tempat yang layak bagi mereka. Mereka mengembara seperti pelarian di padang gurun dan di bukit-bukit. Mereka tinggal di dalam gua dan lubang-lubang di tanah.
Alangkah besarnya kejayaan yang dicapai oleh semua orang itu kerana iman mereka! Namun mereka tidak menerima apa yang dijanjikan oleh Allah, kerana Allah mempunyai rancangan yang lebih baik bagi kita. Dia merancang bahawa hanya bersama-sama kita, mereka akan menjadi sempurna.