HABAKUK 1

1
1Inilah perkhabaran yang dinyatakan oleh TUHAN kepada Nabi Habakuk.
Habakuk Bersungut tentang Ketidakadilan
2Ya TUHAN, sampai bilakah aku harus berseru minta pertolongan? Bilakah Engkau akan mendengarkan aku dan menyelamatkan kami daripada keganasan? 3Mengapa Engkau membiarkan aku mengalami kesusahan seperti ini? Bagaimana Engkau dapat tahan sabar dengan orang yang melakukan kejahatan? Kehancuran dan keganasan berlaku di sekelilingku. Pergaduhan dan pertengkaran berlaku di merata-rata tempat. 4Oleh itu undang-undang lemah dan tidak berguna; keadilan tidak pernah ditegakkan. Orang jahat selalu mengalahkan orang jujur di mahkamah; oleh itu keadilan diputarbalikkan.
Jawapan TUHAN
5 Kemudian TUHAN berfirman kepada umat-Nya, “Perhatikanlah bangsa-bangsa di sekitar kamu dan kamu akan hairan serta terperanjat. Tidak lama lagi Aku akan melakukan sesuatu yang tidak mungkin kamu percaya apabila kamu mendengarnya. 6 Dengarlah! Aku akan menjadikan orang Babilonia berkuasa, bangsa yang bengis dan gopoh. Mereka mara ke seluruh dunia untuk menaklukkan negeri lain. 7Mereka menimbulkan ketakutan dan kegentaran di merata-rata tempat. Mereka sangat sombong sehingga beranggapan bahawa semua perbuatan mereka betul dan sah di sisi undang-undang.
8Kuda orang Babilonia lebih pantas daripada harimau bintang dan lebih ganas daripada serigala yang lapar. Pasukan askar berkuda Babilonia datang dari negeri-negeri jauh; kuda mereka menderap. Pasukan askar berkuda datang menyerang seperti burung helang menyambar mangsa.
9Tentera Babilonia mara dan menyerang dengan ganas; setiap orang ketakutan apabila mereka datang. Tawanan perang mereka sebanyak butir pasir. 10Orang Babilonia menghina raja-raja dan mentertawakan para pembesar kerajaan. Tidak ada kubu yang dapat menghalang mereka. Mereka menambak tanah pada tembok kubu, lalu merebutnya. 11Kemudian mereka bergegas pergi seperti tiupan angin. Mereka bersalah kerana mendewakan kekuatan sendiri.”
Habakuk Bersungut Lagi kepada TUHAN
12Ya TUHAN, Engkau Allah sejak dahulu. Engkau Allahku yang suci dan kekal. Ya TUHAN, Allahku dan pelindungku, Engkau telah memilih orang Babilonia; Engkau menguatkan mereka supaya dapat menghukum kami. 13Tetapi bagaimana Engkau tahan melihat orang yang khianat dan jahat seperti mereka? Engkau terlalu suci untuk memandang kejahatan; Engkau tidak dapat tahan sabar dengan orang yang berbuat salah. Tetapi mengapa Engkau berdiam diri apabila orang Babilonia membinasakan orang yang tidak sejahat mereka?
14Mana boleh Engkau memperlakukan manusia seperti ikan atau seperti sekawanan serangga yang tidak mempunyai pemimpin? 15Orang Babilonia menangkap orang dengan mata kail, seolah-olah yang ditangkap itu ikan. Orang Babilonia menyeret tawanan mereka di dalam jala sambil bersorak-sorak kerana penangkapan itu! 16Bahkan mereka menyembah jala mereka dan mempersembahkan korban kepada jala itu, kerana jala memberi mereka rezeki berlimpah-limpah dan hidup mewah.
17Adakah selamanya mereka akan menggunakan pedang dan terus-menerus membinasakan bangsa-bangsa tanpa belas kasihan?

Terpilih Sekarang Ini:

HABAKUK 1: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk