KEJADIAN 6
6
Kejahatan Manusia
1Apabila manusia sudah bertambah banyak sehingga tercerai-cerai di seluruh dunia, dan anak-anak perempuan dilahirkan, 2makhluk-makhluk ilahi nampak bahawa gadis-gadis itu cantik. Makhluk-makhluk ilahi itu mengahwini gadis-gadis yang disukai oleh mereka. 3Kemudian TUHAN berfirman, “Aku tidak membenarkan manusia hidup selama-lamanya; mereka makhluk fana yang harus mati. Mulai sekarang umur mereka tidak akan lebih daripada 120 tahun.” 4 Pada zaman itu, dan juga selepas zaman itu, ada raksasa di bumi. Mereka keturunan gadis-gadis manusia yang berkahwin dengan makhluk-makhluk ilahi. Raksasa-raksasa itu pahlawan handalan dan termasyhur pada zaman dahulu kala.
5TUHAN nampak betapa jahatnya manusia di bumi; fikiran mereka sentiasa dipenuhi kejahatan. 6Oleh itu TUHAN menyesal kerana sudah menjadikan manusia dan menempatkan mereka di bumi. TUHAN begitu kecewa 7sehingga Dia berfirman, “Aku akan membinasakan manusia yang sudah Kuciptakan itu, dan juga semua binatang serta burung, kerana Aku menyesal menciptakan semuanya.” 8 Tetapi Nuh menyenangkan hati TUHAN.
Nuh
9-10 Inilah riwayat Nuh. Dia mempunyai tiga orang anak lelaki, iaitu Sem, Yafet, dan Ham. Nuh tidak berbuat salah, dan dia satu-satunya orang yang baik pada zamannya. Dia hidup akrab dengan Allah, 11tetapi semua orang lain jahat di sisi Allah, dan kekejaman terdapat di mana-mana. 12Allah memandang dunia dan nampak kejahatan sahaja, kerana kehidupan semua manusia jahat.
13Kemudian Allah berfirman kepada Nuh, “Aku sudah mengambil keputusan untuk menamatkan hidup semua manusia. Aku akan membinasakan mereka berserta bumi, kerana bumi sudah penuh dengan kekejaman mereka. 14Binalah sebuah bahtera untukmu; sebuah bahtera daripada kayu keras. Buatlah bilik-bilik di dalamnya, dan lapisilah bahagian dalam dan luar bahtera itu dengan tar. 15Bahtera itu harus berukuran 133 meter panjang, 22 meter lebar, dan 13 meter tinggi. 16Buatlah bumbung pada bahtera itu, dan berilah jarak 44 sentimeter di antara bumbung dan dindingnya. Buatlah bahtera itu bertingkat tiga, dan pasanglah sebuah pintu di sisinya. 17Aku akan mendatangkan banjir untuk membinasakan setiap makhluk yang hidup di bumi. Segala sesuatu di bumi akan mati, 18tetapi Aku hendak membuat perjanjian dengan engkau. Masuklah ke dalam bahtera itu bersama-sama isterimu, anak-anakmu serta isteri-isteri mereka. 19-20Bawalah seekor jantan dan seekor betina daripada setiap jenis burung dan binatang darat, yang kecil mahupun yang besar, supaya semua itu tidak turut binasa. 21Bawalah juga segala jenis makanan untukmu dan untuk semua binatang itu.” 22 Nuh melakukan segala sesuatu yang diperintahkan Allah.
Terpilih Sekarang Ini:
KEJADIAN 6: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.