KEJADIAN 50:1-11

KEJADIAN 50:1-11 BM

Yusuf merebahkan diri ke atas badan bapanya sambil menangis dan mencium muka bapanya. Kemudian Yusuf memberikan perintah kepada pakar pengawet jenazah untuk mengawet jenazah Yakub. Pengawetan itu memakan masa empat puluh hari, masa yang diperlukan untuk mengawetkan jenazah. Orang Mesir berkabung bagi Yakub selama tujuh puluh hari. Apabila selesai masa berkabung, Yusuf berkata kepada para pegawai raja, “Sampaikanlah pesan ini kepada raja. ‘Ketika bapa hamba hampir meninggal, beliau menyuruh hamba berjanji mengebumikan beliau di dalam kubur yang sudah disediakannya di tanah Kanaan. Oleh sebab itu, benarkanlah hamba pergi untuk mengebumikan bapa hamba. Selepas itu hamba akan kembali.’ ” Oleh itu raja bertitah, “Pergilah kebumikan bapamu seperti yang kamu janjikan.” Kemudian Yusuf pergi untuk mengebumikan bapanya. Semua pegawai raja, orang atasan istana dan semua pembesar Mesir, pergi bersama dengan Yusuf. Keluarganya, saudara-saudaranya, dan sanak saudaranya yang lain pergi juga. Hanya anak-anak kecil dan ternakan mereka ditinggalkan di daerah Gosyen. Orang yang berkereta kuda dan berkuda juga ikut, sehingga kumpulan mereka sangat besar. Apabila mereka sampai di tempat orang mengirik gandum di Atad, di sebelah timur Sungai Yordan, mereka meratap dengan sedih dan nyaring. Yusuf mengadakan upacara perkabungan selama tujuh hari. Apabila penduduk Kanaan melihat perkabungan di Atad, mereka berkata, “Betapa pilunya upacara perkabungan orang Mesir!” Itulah sebabnya tempat itu dinamakan Abel-Mizraim.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan KEJADIAN 50:1-11