KEJADIAN 49:1-12

KEJADIAN 49:1-12 BM

Kemudian Yakub memanggil anak-anak lelakinya dan berkata, “Berkumpullah di sini, dekat aku. Aku akan memberitahu kamu apa yang kamu alami pada kemudian hari. Berkumpullah, hai anak-anak Yakub, dengarlah Israel, bapa kamu. Ruben, anakku yang sulung, engkaulah kekuatanku, buah pertama keperkasaanku. Engkau paling gagah dan kuat antara semua anak lelakiku. Engkau mudah tergoncang seperti air, sehingga engkau bukan yang terutama. Oleh sebab engkau tidur dengan gundikku, engkau mencemarkan tempat tidur bapamu. Simeon dan Lewi bersaudara; senjata mereka digunakan untuk kekejaman. Aku tidak akan ikut dalam pakatan mereka, dan tidak ikut dalam kumpulan mereka. Oleh sebab mereka membunuh dalam kemarahan, dan melumpuhkan lembu jantan untuk bersuka-suka. Terkutuklah kemarahan mereka, kerana sangat dahsyat. Terkutuklah amukan mereka, kerana sangat kejam. Aku akan menyelerakkan mereka di seluruh Israel. Aku akan mencerai-beraikan mereka antara semua bangsa. Yehuda, engkau akan menerkam tengkuk musuhmu; saudara-saudaramu akan memujimu dan sujud di hadapanmu. Yehuda bagaikan singa; dia membunuh mangsanya, lalu kembali ke sarangnya; dia menggeliat lalu berbaring, dan tiada seorang pun berani mengusiknya. Yehuda akan memegang tongkat kerajaan, keturunannya akan memerintah selama-lamanya. Bangsa-bangsa akan membawakan dia ufti, dan sujud dengan taat di hadapannya. Anak keldainya diikatnya pada pokok, pada pokok anggur yang paling baik. Dia mencuci pakaiannya dengan wain, wain semerah darah. Matanya merah kerana minum wain, giginya putih kerana minum susu.