KEJADIAN 45:1-15

KEJADIAN 45:1-15 BM

Yusuf tidak dapat menahan perasaannya lagi di hadapan hamba-hambanya. Oleh itu dia menyuruh mereka meninggalkan bilik itu supaya dia dapat memperkenalkan diri kepada saudara-saudaranya. Kemudian Yusuf menangis dengan kuat sehingga orang Mesir mendengarnya. Lalu berita itu dibawa ke istana raja. Yusuf berkata kepada saudara-saudaranya, “Aku ini Yusuf. Adakah bapaku masih hidup?” Tetapi saudara-saudaranya sangat takut sehingga tidak dapat menjawab. Oleh itu Yusuf berkata kepada mereka, “Marilah dekat aku.” Mereka mendekati Yusuf, lalu dia berkata lagi, “Aku Yusuf, saudara kamu yang kamu jual ke Mesir. Jangan takut atau salahkan diri kerana kamu menjual aku. Sebenarnya, Allah sendiri yang menghantar aku ke sini lebih dahulu daripada kamu untuk menyelamatkan banyak orang. Sekarang baru tahun kedua masa kebuluran, dan ada lima tahun lagi orang tidak akan membajak atau menuai. Allah telah menghantar aku ke sini lebih dahulu daripada kamu untuk menyelamatkan kamu dengan cara yang menakjubkan ini, supaya kamu selamat dan keturunan kamu tidak pupus. Oleh itu, sebenarnya bukan kamu yang menyebabkan aku berada di sini, melainkan Allah. Dia sudah menjadikan aku pegawai tertinggi raja Mesir. Aku diberi kuasa mengurus segenap rumah tangganya dan seluruh negeri Mesir. Sekarang, kembalilah dengan segera kepada bapaku dan katakanlah kepadanya bahawa Yusuf, anaknya, berkata begini, ‘Allah sudah menjadikan saya penguasa seluruh Mesir; datanglah kepada saya dengan segera. Ayah dapat tinggal di daerah Gosyen, berhampiran dengan saya – ayah, bersama dengan anak cucu, domba, kambing, lembu, dan segala kepunyaan ayah. Jika ayah berada di Gosyen, saya dapat menjaga ayah. Kebuluran masih akan berlaku lima tahun lagi, dan akan saya usahakan agar ayah, keluarga, serta ternakan ayah tidak kekurangan apa-apa pun.’ ” Yusuf berkata lagi, “Sekarang kamu nampak sendiri, termasuk engkau Benyamin, bahawa aku benar-benar Yusuf. Katakanlah kepada ayah kita betapa besarnya kuasaku di sini, di Mesir, dan ceritakanlah segala yang sudah kamu nampak kepadanya. Bawalah dia ke sini dengan segera.” Yusuf memeluk adiknya Benyamin dan menangis. Benyamin juga menangis sambil memeluk abangnya. Kemudian sambil menangis, Yusuf memeluk semua saudaranya dan mencium mereka. Selepas itu mereka mula bercakap-cakap dengan dia.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami