KEJADIAN 43:16-34

KEJADIAN 43:16-34 BM

Apabila Yusuf nampak Benyamin dan abang-abangnya, dia berkata kepada hamba yang mengurus rumah tangganya, “Bawalah semua orang itu ke rumahku. Mereka akan makan bersama dengan aku tengah hari ini. Sembelihlah seekor ternak lalu siapkanlah itu.” Hamba itu melaksanakan perintahnya dan membawa saudara-saudara Yusuf ke dalam rumah Yusuf. Ketika mereka dibawa ke dalam rumah Yusuf, mereka takut dan berfikir, “Kita dibawa ke sini kerana wang yang di dalam karung kita pada masa kita datang ke sini dahulu. Mereka akan menangkap kita dengan tiba-tiba, lalu mengambil keldai kita dan menjadikan kita abdi.” Oleh itu, di pintu rumah Yusuf, mereka berkata kepada pengurus rumah tangga itu, “Tuan, kami pernah datang ke sini untuk membeli makanan. Dalam perjalanan pulang, ketika kami hendak bermalam, kami membuka karung kami lalu nampak semua wang pembayaran gandum kami di atas gandum. Kami tidak tahu siapa yang memasukkan wang itu. Sekarang kami membawanya kembali kepada tuan. Selain itu kami ada membawa wang lebih untuk membeli makanan lagi.” Dia menjawab, “Jangan takut. Jangan khuatir. Allah kamu, yang disembah bapa kamu, sudah memasukkan wang itu ke dalam karung kamu. Aku sudah menerima pembayaran kamu untuk gandum itu.” Kemudian dia membawa Simeon kepada mereka. Lalu dia menghantar mereka ke dalam rumah. Dia memberikan air kepada mereka untuk membasuh kaki, dan juga makanan untuk keldai mereka. Selepas itu mereka menyediakan hadiah untuk diberikan kepada Yusuf apabila dia datang pada waktu tengah hari, kerana mereka sudah diberitahu bahawa mereka akan makan bersama dengan Yusuf. Apabila Yusuf sampai di rumah, mereka memberikan hadiah-hadiah itu kepada Yusuf sambil bersujud. Yusuf bertanya tentang keadaan mereka, lalu berkata, “Apa khabar bapa kamu yang sudah tua itu, yang pernah kamu ceritakan kepadaku? Adakah dia masih hidup dan sihat?” Mereka menjawab, “Bapa kami, hamba tuan, masih hidup dan sihat.” Mereka pun bersujud di hadapannya. Apabila Yusuf melihat Benyamin, adiknya, dia berkata, “Inikah adik kamu yang bongsu itu, yang kamu beritahukan aku? Semoga Allah memberkati engkau, anakku.” Yusuf berasa terharu kerana rindu dan sayang akan adiknya. Dia hampir tidak dapat menahan diri, kerana itu dia pergi dari situ dengan tiba-tiba, lalu masuk ke biliknya dan menangis. Kemudian dia membasuh mukanya, lalu keluar lagi, dan dengan menahan perasaannya dia menyuruh orang menghidangkan makanan. Yusuf makan di sebuah meja tersendiri, dan saudara-saudaranya makan di meja yang lain. Orang Mesir yang ada di situ makan di meja yang lain lagi, kerana mereka berasa hina apabila makan bersama dengan orang Ibrani. Saudara-saudara Yusuf diberikan tempat duduk di meja yang berhadapan dengan Yusuf, menurut urutan umur masing-masing, mulai daripada yang sulung sampai kepada yang bongsu. Ketika mereka nampak cara mereka diberikan tempat duduk, mereka saling memandang dengan hairan. Mereka diberi makanan dari meja Yusuf, tetapi Benyamin mendapat makanan lima kali lebih banyak daripada abang-abangnya. Oleh itu mereka makan dan minum bersama-sama Yusuf, serta bersuka ria.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami