Kemudian pengurus minuman berkata kepada raja, “Pada hari ini hamba mesti mengaku kesalahan hamba. Dahulu tuanku murka kepada hamba dan pengurus roti, lalu hamba berdua dimasukkan ke dalam penjara di rumah ketua pengawal istana. Pada suatu malam hamba berdua bermimpi, dan mimpi itu tidak sama ertinya. Seorang pemuda Ibrani berada di sana bersama dengan hamba. Dia pelayan ketua pengawal istana. Hamba menceritakan mimpi hamba kepadanya, lalu dia mentafsirkan mimpi itu. Ternyata segalanya berlaku tepat seperti yang dikatakannya. Tuanku mengembalikan hamba kepada pekerjaan hamba, tetapi menjatuhkan hukuman mati kepada pengurus roti itu.” Oleh itu raja menyuruh orang memanggil Yusuf datang menghadap, lalu Yusuf segera dikeluarkan dari penjara. Setelah Yusuf bercukur dan berganti pakaian, dia dibawa menghadap raja. Raja bertitah kepadanya, “Beta sudah bermimpi, tetapi tiada seorang pun dapat menjelaskan erti mimpi itu. Beta sudah diberitahu bahawa kamu dapat mentafsirkan mimpi.” Yusuf menjawab, “Tuanku, bukan hamba melainkan Allah yang dapat memberikan tafsiran yang baik bagi tuanku.” Raja bertitah, “Beta bermimpi bahawa beta sedang berdiri di tebing Sungai Nil. Kemudian tujuh ekor lembu yang gemuk dan yang kulitnya licin berkilat keluar dari sungai, lalu mula makan rumput di tebing sungai itu. Selepas itu, muncul pula tujuh ekor lembu lain yang kurus kering. Beta belum pernah nampak lembu yang sedemikian kurus di seluruh Mesir. Lembu-lembu yang kurus itu memakan habis ketujuh-tujuh ekor lembu yang gemuk. Tetapi lembu-lembu yang kurus itu masih tetap kurus. Lalu beta terjaga daripada tidur. Kemudian beta tertidur dan bermimpi lagi. Beta nampak tujuh bulir gandum yang berisi dan masak pada satu tangkai. Selepas itu ada pula tujuh bulir gandum yang kempis dan layu kerana ditiup angin gurun. Bulir gandum yang kempis itu menelan bulir yang berisi. Beta sudah menceritakan kedua-dua mimpi beta itu kepada para ahli sihir, tetapi tiada seorang pun dapat mentafsirkan mimpi itu.” Kemudian Yusuf berkata kepada raja, “Kedua-dua mimpi itu mempunyai erti yang sama; Allah sudah memberitahu tuanku apa yang akan dilakukan-Nya. Tujuh ekor lembu yang gemuk itu melambangkan tujuh tahun. Tujuh bulir gandum yang berisi itu melambangkan tujuh tahun juga; kedua-duanya mempunyai erti yang sama. Tujuh ekor lembu yang kurus, yang muncul kemudian, serta tujuh bulir gandum yang kempis dan layu kerana ditiup angin gurun itu melambangkan masa kebuluran selama tujuh tahun. Sebagaimana hamba katakan kepada tuanku, Allah sudah menyatakan apa yang akan dilakukan-Nya. Seluruh negeri Mesir akan kelimpahan gandum selama tujuh tahun. Selepas itu kebuluran akan berlaku selama tujuh tahun. Masa kelimpahan gandum itu akan dilupakan sama sekali kerana kebuluran itu sangat dahsyat sehingga negeri ini menjadi tandus. Tuanku bermimpi dua kali; hal itu bermakna bahawa perkara itu telah ditetapkan oleh Allah, dan Allah akan melaksanakannya dengan segera. Oleh sebab itu, sebaiknya tuanku memilih seorang yang cerdas dan bijaksana lalu memberinya kuasa untuk mengurus negeri ini. Tuanku perlu juga melantik pegawai-pegawai lain, dan memberi mereka kuasa untuk memungut seperlima daripada segala tuaian gandum selama tujuh tahun masa kelimpahan gandum, lalu menyimpannya di kota-kota dan menjaganya. Gandum itu akan menjadi simpanan makanan untuk masa kebuluran selama tujuh tahun di Mesir. Dengan demikian rakyat tidak akan mati kebuluran.”
Baca KEJADIAN 41
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: KEJADIAN 41:9-36
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video