KEJADIAN 41:38-50

KEJADIAN 41:38-50 BM

Kemudian raja bertitah kepada mereka, “Tidak mungkin kita mendapatkan orang lain yang lebih sesuai daripada Yusuf, kerana dia dipimpin oleh Roh Allah.” Oleh itu raja bertitah kepada Yusuf, “Allah sudah memberitahukan segala perkara ini kepadamu, kerana itu jelaslah bahawa kamu lebih cerdas dan bijaksana daripada sesiapa pun. Beta melantik kamu menjadi gabenor, dan segenap rakyat akan mentaati perintahmu. Hanya beta yang lebih berkuasa daripadamu.” Selepas itu raja menanggalkan cincin yang berukir meterai kerajaan dari jarinya. Raja menyarungkan cincin itu pada jari Yusuf sambil bertitah, “Dengan ini beta melantik kamu menjadi gabenor seluruh Mesir.” Kemudian raja mengenakan sehelai jubah linen yang halus pada Yusuf, dan mengalungkan seutas rantai emas pada lehernya. Kemudian raja memberikan kereta kuda diraja yang kedua kepada Yusuf sebagai kenderaannya, dan pengawal kehormat diraja berjalan di hadapan kereta kuda itu sambil berseru-seru, “Beri jalan! Beri jalan!” Demikianlah Yusuf dilantik menjadi gabenor seluruh Mesir. Raja bertitah kepadanya, “Betalah raja – dan beta mengumumkan bahawa tanpa izinmu tiada seorang pun di seluruh Mesir boleh melakukan apa-apa.” Raja memberikan nama Mesir kepada Yusuf, iaitu Zafnat-Paaneah. Baginda juga memberikan seorang isteri kepada Yusuf. Isterinya itu bernama Asnat, anak Potifera yang menjadi imam di kota Heliopolis. Yusuf berumur tiga puluh tahun ketika dia mula berkhidmat kepada raja Mesir. Yusuf meninggalkan istana raja lalu pergi ke seluruh negeri itu. Selama tujuh tahun masa kelimpahan gandum itu, tanah menghasilkan tuaian yang banyak sekali. Gandum itu dikumpulkan oleh Yusuf lalu disimpan di kota-kota. Di setiap kota dia menyimpan gandum hasil ladang di sekitar kota itu. Gandum yang dikumpulkan begitu banyak sehingga Yusuf berhenti menyukatnya, kerana banyaknya seperti pasir di pantai. Sebelum masa kebuluran sampai, Asnat isteri Yusuf, melahirkan dua orang anak lelaki.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami