KEJADIAN 40:1-15

KEJADIAN 40:1-15 BM

Beberapa lama kemudian dua orang pelayan raja Mesir, iaitu pengurus minuman dan pengurus roti, melakukan kesalahan terhadap raja. Oleh sebab itu, raja murka terhadap kedua-dua orang pelayan itu. Mereka dimasukkan ke dalam penjara di rumah ketua pengawal istana, di tempat Yusuf ditahan. Mereka tinggal lama di penjara itu, lalu ketua pengawal istana menugaskan Yusuf untuk melayani mereka. Pada suatu malam pengurus minuman dan pengurus roti itu masing-masing bermimpi. Erti mimpi mereka itu tidak sama. Apabila Yusuf datang kepada mereka keesokan paginya, mereka kelihatan muram. Oleh itu Yusuf bertanya, “Mengapa begitu muram hari ini?” Mereka menjawab, “Kami bermimpi semalam, dan tiada sesiapa pun yang mengetahui ertinya.” Yusuf berkata, “Hanya Allah yang membolehkan orang mentafsirkan mimpi. Cuba ceritakan mimpi itu.” Pengurus minuman itu berkata, “Dalam mimpi itu aku nampak pokok anggur di hadapanku. Pokok itu bercabang tiga. Sebaik saja cabang-cabangnya mula berdaun, segera bunga-bunganya berkembang, lalu buahnya masak. Pada waktu itu aku sedang memegang cawan minuman raja; oleh itu aku mengambil buah anggur itu dan memerah airnya ke dalam cawan raja, lalu aku menghidangkannya kepada raja.” Yusuf berkata, “Inilah ertinya. Tiga cabang itu bererti tiga hari. Dalam tiga hari ini, tuan akan dibebaskan oleh raja, diampuni dan dikembalikan kepada pekerjaan yang dahulu. Tuan akan menghidangkan cawan minuman kepada raja seperti dahulu. Tetapi ingatlah akan saya apabila keadaan tuan sudah baik. Tolong sampaikan masalah saya kepada raja supaya saya dibebaskan dari penjara ini. Sebenarnya, dahulu saya diculik dari negeri orang Ibrani. Di sini, di Mesir pun, tidak pernah saya melakukan apa-apa kejahatan sampai harus dimasukkan ke dalam penjara.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami