KEJADIAN 39:10-23

KEJADIAN 39:10-23 BM

Meskipun isteri Potifar membujuk Yusuf setiap hari, pemuda itu tetap tidak mahu tidur bersama dengan dia. Pada suatu hari, ketika Yusuf masuk ke dalam rumah untuk melakukan pekerjaannya, tiada seorang pelayan pun berada di situ. Kemudian isteri Potifar menarik jubah Yusuf dan berkata, “Marilah kita tidur bersama.” Yusuf meronta hingga dapat lepas, lalu lari ke luar, tetapi jubahnya tertinggal di tangan perempuan itu. Apabila isteri Potifar sedar bahawa Yusuf sudah lari dan jubahnya tertinggal, dia memanggil pelayan-pelayannya dan berkata, “Lihatlah! Orang Ibrani yang dibawa suamiku ke rumah ini menghina kita. Dia masuk ke dalam bilikku dan cuba merogol aku, tetapi aku menjerit. Apabila dia mendengar jeritanku, dia lari ke luar tetapi jubahnya tertinggal.” Isteri Potifar menyimpan jubah itu sehingga suaminya pulang. Apabila suaminya pulang, dia segera memberitahukan cerita yang sama kepadanya. Dia berkata, “Hamba Ibrani itu yang kaubawa ke sini, masuk ke dalam bilik untuk menghina aku. Namun apabila aku menjerit, dia lari ke luar tetapi jubahnya tertinggal.” Potifar sangat marah. Dia memerintahkan supaya Yusuf segera ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara, tempat orang tahanan raja dikurung, maka di situlah Yusuf tinggal. Tetapi TUHAN menolong Yusuf dan tetap mengasihinya, sehingga ketua penjara suka kepadanya. Dia mempercayakan orang tahanan yang lain kepada Yusuf. Dia juga memberikan tanggungjawab kepada Yusuf atas segala pekerjaan yang dilakukan di dalam penjara. Ketua penjara itu tidak lagi mengawasi segala yang dipercayakannya kepada Yusuf, kerana TUHAN menyertai Yusuf sehingga dia berjaya dalam semua pekerjaannya.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan KEJADIAN 39:10-23