KEJADIAN 32:1-21

KEJADIAN 32:1-21 BM

Yakub meneruskan perjalanannya. Kemudian malaikat-malaikat Allah datang berjumpa dengan dia. Apabila Yakub nampak malaikat-malaikat itu, dia berkata, “Ini perkhemahan Allah.” Oleh itu dia menamakan tempat itu Mahanaim. Selepas itu, Yakub menyuruh beberapa orang utusan berjalan mendahului dia ke negeri Edom untuk berjumpa dengan Esau, abangnya. Yakub berkata kepada mereka, “Katakanlah kepada abangku Esau begini, ‘Saya Yakub, hamba tuan. Selama ini saya telah tinggal bersama dengan Laban. Sekarang saya mempunyai lembu, keldai, domba, kambing, dan hamba. Saya mengirim khabar kepada tuan dengan harapan agar tuan akan baik hati kepada saya.’ ” Apabila para utusan kembali kepada Yakub, mereka berkata, “Kami sudah menemui Esau, abang tuan. Sekarang dia dalam perjalanan ke sini untuk berjumpa dengan tuan. Dia datang bersama dengan empat ratus orang.” Setelah mendengar khabar itu, Yakub sangat ketakutan dan khuatir. Kemudian orang yang ada bersama dengan dia dibahaginya menjadi dua kumpulan. Demikian juga yang dilakukannya dengan domba, kambing, lembu, dan untanya. Dia berfikir, “Jika Esau datang dan menyerang kumpulan yang pertama, kumpulan yang kedua mungkin sempat menyelamatkan diri.” Kemudian Yakub berdoa, “Ya Allah, yang disembah oleh datukku Abraham dan bapaku Ishak, dengarlah aku! TUHAN sudah menyuruh aku pulang ke negeriku dan sanak saudaraku. Engkau sudah berjanji mengatur segala sesuatu dengan baik bagiku. Aku tidak layak menerima segala kasih dan kesetiaan yang sudah Engkau tunjukkan kepadaku, hamba-Mu. Pada masa aku berangkat menyeberangi Sungai Yordan, aku tidak membawa apa-apa selain sebatang tongkat. Sekarang aku datang kembali bersama dengan dua kumpulan ini. Aku mohon, selamatkanlah aku daripada abangku, Esau. Aku takut jangan-jangan dia datang menyerang dan membinasakan kami semua, termasuk wanita serta anak-anak. Ingatlah bahawa Engkau sudah berjanji mengatur segala sesuatu dengan baik bagiku dan memberikan banyak keturunan kepadaku. Bilangan mereka akan sebanyak pasir di pantai, sehingga tiada seorang pun dapat menghitung mereka.” Setelah bermalam di situ, Yakub mengambil sebilangan daripada binatang ternakannya untuk dihadiahkan kepada Esau. Hadiah itu berupa: 200 ekor kambing betina, 20 ekor kambing jantan, 200 ekor domba betina, 20 ekor domba jantan, 30 ekor unta yang sedang menyusui anak unta, 40 ekor lembu betina, 10 ekor lembu jantan, 20 ekor keldai betina, dan 10 ekor keldai jantan. Semua binatang itu dibahaginya menjadi beberapa kawanan, lalu setiap kawanan diserahkannya kepada seorang hamba. Dia berkata kepada mereka, “Berjalanlah mendahului aku, dan pastikan ada jarak di antara kawanan yang satu dengan kawanan yang berikutnya.” Yakub memberikan arahan kepada hamba yang pertama, “Jika abangku Esau bertemu denganmu, dan bertanya, ‘Siapakah tuanmu? Hendak ke mana? Siapakah pemilik ternakan yang kamu giring itu?’ Jawablah, ‘Milik Yakub, hamba tuan. Dia mengirim kawanan ini sebagai hadiah kepada Esau, tuannya. Yakub, hamba tuan, sedang menyusul kami.’ ” Yakub memberikan arahan yang sama kepada hambanya yang kedua, ketiga, dan semua orang yang ditugaskan untuk mengurus segala kawanan binatang itu. Yakub berfikir bahawa dia dapat membujuk Esau dengan hadiah-hadiah itu, dan apabila bertemu nanti, Esau mungkin akan memaafkan dia. Oleh itu dia mengirimkan hadiah-hadiah itu lebih dahulu, sedangkan dia sendiri bermalam di perkhemahan.