KEJADIAN 3:8-19

KEJADIAN 3:8-19 BM

Pada petang itu, mereka mendengar TUHAN Allah berjalan di taman, lalu mereka bersembunyi di antara pokok-pokok supaya tidak dapat dilihat-Nya. Tetapi TUHAN Allah memanggil lelaki itu, “Di manakah engkau?” Lelaki itu menjawab, “Aku mendengar Engkau di taman; aku takut, lalu aku bersembunyi kerana aku bertelanjang.” “Siapa yang memberitahukan bahawa engkau bertelanjang?” tanya Allah. “Adakah engkau makan buah yang terlarang itu? Aku sudah melarang engkau makan buah itu.” Lelaki itu menjawab, “Perempuan yang Engkau jadikan temanku memberikan buah itu kepadaku, lalu aku memakannya.” TUHAN Allah bertanya kepada perempuan itu, “Mengapa engkau melakukan hal itu?” Perempuan itu menjawab, “Ular menipu aku sehingga aku makan buah itu.” Kemudian TUHAN Allah berfirman kepada ular itu, “Terkutuklah engkau kerana perbuatan itu; antara semua binatang, hanya engkau yang harus menanggung kutukan ini. Mulai sekarang engkau akan menjalar dan makan debu seumur hidupmu. Engkau dan perempuan itu akan saling membenci; keturunannya dan keturunanmu akan sentiasa bermusuhan. Keturunannya akan meremukkan kepalamu dan engkau akan mematuk tumit mereka.” TUHAN Allah berfirman kepada perempuan itu, “Aku akan menambah kesusahanmu semasa engkau hamil, dan juga kesakitanmu pada masa engkau bersalin. Walaupun demikian, engkau akan tetap berahi kepada suamimu, namun engkau akan tunduk kepadanya.” Kemudian TUHAN Allah berfirman kepada lelaki itu, “Engkau mendengarkan kata-kata isterimu, lalu makan buah yang Aku larang engkau makan. Oleh sebab perbuatanmu itu, terkutuklah tanah. Engkau mesti bekerja keras seumur hidupmu agar tanah ini dapat menghasilkan makanan yang cukup. Tanah akan menghasilkan semak dan duri; tumbuh-tumbuhan liar akan menjadi makananmu. Engkau akan bekerja keras dan berpeluh-peluh untuk membuat tanah ini menghasilkan sesuatu, sampai engkau kembali ke tanah kerana engkau dibentuk daripada tanah. Engkau dijadikan daripada tanah, dan engkau akan kembali ke tanah.”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan KEJADIAN 3:8-19

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami